Wednesday, August 15, 2012

diam

hari yang berlalu
tanpa suara, tanpa kata-kata
diam seribu bahasa

bibir yang terkatup
lagi terkancing peti suaranya
diam, hibanya dalam

sukarnya hidup tanpa peduli
darah yang sama mengalir
belum pasti mahu menghulur
apatah lagi rahim yang lain
ihsan akan tamat jua

pada langit yang terbentang
dimanakah rezeki untukku akan jatuh
pada laut yang luas tak nampak sempadan
dimanakah anugerahku akan terbit
doa yang berjuntaian ku kirim
apakah di tengah jalannya yang menghalang

diam
bahasa yang berlalu
hibanya terlalu dalam


Tuesday, August 14, 2012

suara

tiada yang dapat kucapai
hanya nyaring suaramu
tingginya tak tergapai

suaramu yang melagukan irama canda
mesra di capangku lenggoknya
terbuai hatiku langsung terhenti hiba
damainya memeluk jiwa, merangkul asmara

usah henti mengalunkan bait indah
karangkan dengan ikhlas meski dalam gundah
kerana suaramu mengubah dunia
yang hitam berganti putih
dan yang keruh beralir jernihnya

Monday, August 13, 2012

pertemuan

takdir yang menemukan kita
tak pernah terfikir untuk bersua
bersama ketawa dan menangis
gembira dan berduka

meski pernah kita berbalah
namun kembali kita berdua
senyum dan kecewa

pertemuan kita menepati
apa yang telah tertulis
kalau kita kelak mati
pasti di sana bertemu kembali

Sunday, August 12, 2012

datanglah padaku

datanglah padaku
hapus kesedihanku
dan kesakitanku
serta kepedihanku

datanglah padaku
hiburkan hatiku
warnakan gundahku
dan uliti kesepianku

datanglah kepadaku
seisimu, semuliamu
kehilangan yang panjang
lengkapilah aku

Saturday, August 11, 2012

mimpi kering

lena yang terjadi dalam keletihan
selalu hadir mimpi menambah keenakan
basah atau kering tiada pula terungkap
hanya sedap tidur dan enak lelap

mimpi yang basah
berkejaran di hujung dunia
penuh nikmat dan gembira
tertawa bersama, bagai selamanya berdua

mimpi yang kering
sudah tak mampu ingati lagi
ceritanya tersekat-sekat di tengah
penamatnya juga sudah kabur, hilang meriah

mimpi yang mengindahkan hidup
selalu kita harapkan menjadi nyata
cuma seketika, mampu memberi bahagia ke akhirnya

Friday, August 10, 2012

kata-kata yang melukakan hati

ada kata-kata
yang bisa melukakan hati
meski cuba untuk menjadi jujur
kerap juga kata-kata melukakan hati

bila berkata manis
kita dikata pura-pura
bila berkata sinis
kita dikata kejam
bila berkias
kita dikata tidak ikhlas
bila diam
kita dikata terlalu pendam

kata-kata yang melukakan hati
biar rapatnya kita atau asing tak pernah kenali
satu kata yang terlancar di bibir
tiada pernah kita ucap selepas panjang fikir

kata-kata yang melukakan hati
buat kita menjauhi, hilang percaya diri
maaf bisa diucap, namun hati takkan lupa
malah bertambah dalam lukanya

Thursday, August 9, 2012

barang kepunyaan

barang ini kepunyaan saya
hasil titik peluh saya
membayarnya dengan peluh
dan air mata

barang ini kepunyaan saya
pemilik abadinya saya
kalau kamu mahu pinjam
jangan buat harta

barang ini kepunyaan saya
bila kamu sudah guna
pulangkan seperti asalnya

Wednesday, August 8, 2012

perempuan

manis bertudung menutup dada
tidak jarang lindungkan mahkota
labuhkan baju longgarkan busana
sarung di kaki tambah sempurna

jagalah mata dan kata-kata
jagalah dara dan anggota
jagalah nama dan leluhurnya

dari jauh terpancar murni
penuhi mimpi

Tuesday, August 7, 2012

mangga muda

bau harum menggamit perhatian
di dahan tinggi elok bergantungan
meski muda ternyata menggoda
tergugat percaya yang mendada

mangga muda nampak lazat
kecur di mulut tahan sendiri

Monday, August 6, 2012

ada

kerana kau aku ada di sini
kerana aku kau setia menanti

ada aku untuk kau oles kucup
ada kau untuk aku kembang kuncup

kau ada dalam hatiku melekat kuat
aku ada dalam mimpimu berkilat likat

waktu yang memisahkan
ada kau dalam kerdip mataku
rindu yang membataskan
ada aku dalam kerlip bintang-bintangmu

cukuplah ada kau untuk aku
kerana telah aku dan selamanya lengkapimu

Sunday, August 5, 2012

bingit

bingit
bunyi kuat buat telinga sakit
gegendang bagai mahu pecah
cuping terasa perit

nuansa yang mencemar bilakah akan tamat
bingitnya menaikkan darah menurunkan sabar

Saturday, August 4, 2012

kembali

jalanku menuju kamu
isyaratnya bernyala laju
jejantasnya tinggi
terowongnya rapi

bersatu menuju kamu
bisik kanan kiri
tak peduli lagi

aku mahu kembali
atas sendiri

Friday, August 3, 2012

beriku cintamu

ada yang istimewa
dalam bayu yang menyapa
pandanglah ke mataku
ayuh mulakan

legakanku
pusingkan tubuh, beriku gembira
palu gendang dan tabuh
beriku cinta

ada yang istimewa
dalam cahaya yang cerah
tataplah ke wajahku
teruskan, meski perlahan

kau tahuku sudah sedia
merangkul canda cinta
beriku semua

aku mabuk dalam cintamu
semuanya kau berikan padaku

Thursday, August 2, 2012

Ayah

yang membawa ke dunia
asal jadiku penuh rahsia
yang mendepakan tangan
sambut lahirku penuh gembira

tanpa bicara di bibir
kita berkata di hati
ku genggam erat tangan tuamu
betapa terhutangnya aku

sedih dan sepi yang disimpan di hati
sunyi dan hiba yang tak berganti
ku fahami dan dalami
samaku jua berkabung perasaan
samaku menangis dan merintih kecil

pandangan yang kau lempar jauh
ke matiku hutangimu

Wednesday, August 1, 2012

tamar dan popiah

ulas-ulas hitam
di atas piring sisi bunga
pembuka jamu hari

batang-batang rangup
di tepi mangkuk kuah merah
penambah rasa dulang

tiap kalinya
inilah yang mesti ada
meski ini yang pertama tanpanya
hidup diteruskan jua

pilu dan sayu
siapa yang peduli