Sunday, March 31, 2013

harapan hidup

harapan hidup
jangan pernahlah
tinggal menyepi

impian hidup
jangan pernahlah
menuju mati

teruslah hidup
jangan pernahlah
mahu berhenti

Saturday, March 30, 2013

basah lisuku

sekali-sekala aku menangis
kenang nasib dan dosa-dosa
lupa, leka
lalai dan lena

sekali-sekala aku menangis
kenang wajah dan cinta-cinta
ceria, gembira
mulus dan bercahaya

basah lisuku mengesat air mata
basah hatiku disagat kesal noda

sesal sendiri

Sunday, March 24, 2013

langit cerah

cerah langit yang membumbungkan alam
merahnya di barat menyelimutkan awal malam
ada yang baru pulang
ada yang sedang jerang

cerah langit semakin kelam
tanda putaran beransur balam
ada yang baru tahu
ada yang sudah lesu

hari penuh pengalaman
tiada pun jadi hampa
cerah langit bintang bertabur selerak
syukurlah tuhan masih melimpahkan nikmat

Saturday, March 23, 2013

muda

aku muda
engkau muda
sama-sama bergelora

aku muda
engkau muda
sama-sama mudah tergoda

aku muda
engkau muda
sama-sama lupa

aku muda
engkau muda
sama-sama alpa

aku muda
engkau muda
sama-sama berdosa

aku muda
engkau muda
sama-sama diintai malaikat-Nya

aku muda
engkau muda
sama-sama dihamba dunia

Sunday, March 17, 2013

rahsia

saya mahu beritahu awak satu rahsia
bila mana awak sudah ketahuinya
bukan lagi jadi rahsia
simpanlah rahsia ini sejujurnya
sepertinya awak telah akad akan amanahnya

rahsia ini penentu hidup saya
pilihan yang saya ambil untuk kekal dipuja
dipuja orang keliling, teman-teman dan keluarga
dipuja tetangga, sepupu dan rakan sekerja

rahsia ini penyelamat hari depan saya
cerita akan datang yang telah saya siapkan lakon layarnya
biar nanti saya terus dipercaya orang yang memuja
memuja dari langkah pertama saya mengua ke dunia

rahsia ini yang saya mimpi setiap lena malam
dan di setiap tidur petang serta pada semua lamun panjang
perkiraan saya supaya urusan lancar dan dipermudah
perkiraan saya supaya yang sukar jadi mudah, yang mudah bertambah kurang payah

ini rahsia saya
...rahsia!

Saturday, March 16, 2013

hati

luka terhiris parutnya kekal
sakit kesumat akhirnya sesal
terlalu ikut jadi bebal
terlalu jaga jadi sebal

sucikanlah dan saluti dengan keindahan
jauhi keraguan, penafian dan pemesongan
tetapkanlah dan baluti dengan sesuatu yang berterusan
dekati kebaikan, kemurnian dan kerendahan

hati yang elok, hidup
hati yang rosak, lupa

Sunday, March 10, 2013

resmi padi

pandainya kita hanya setitis ilmu-Nya
hinanya kita dari setitis ihsan-Nya
nyawa dan jiwa yang memalingkan iman
sudahkan janji yang dimungkir

udara yang disedut
tanah yang dipijak
tangan yang menyuap nasi dan lauk
tekak yang meneguk air

bila kita sentiasa ingat
kitalah padi melampaui tunduknya

Saturday, March 9, 2013

tunggulah

di sana nanti, kau tunggulah aku
di pintu mana pun akan aku muncul
biarlah timbang tara tidak sebelahi
sabarkan hati waktu kau menanti

di sana nanti, kau tunggulah aku
datang aku dengan mahar
dan manis lamar
selamanya kita berbahagia di dalamnya

di sana nanti, kau tunggulah aku
terimalah aku seadanya
hitam atau putih
tuhan yang menilaikan

di sana nanti, kau tunggulah aku
dengan senyum ikhlasmu

Sunday, March 3, 2013

hanya seorang lelaki

hanya seorang lelaki
jadi kemudi

hanya seorang lelaki
jadi wali

hanya seorang lelaki
jadi panji

payung untuk berlindung
perisai untuk bertahan
lengan untuk memeluk
bahu tempat bertangis
riba tempat mengalas

hanya seorang lelaki
jadi abdi

Saturday, March 2, 2013

berita angin

ekor mata lirik hujung melihat mungkar
cuping telinga menggema cakap onar
hati berdetik sama mahu sabar atau bongkar

berita di atas angin
mudah benar jadi percayanya padamu
tanpa tentu punca sudah kau susurkan hala

berita di atas angin
terlalu pantas dihadam kantung perutmu
bagai dangkalnya tapis mindamu

cepat kita memutuskan
antara kekesalan dan kebenaran