Monday, January 28, 2013

cuti

lipat sejadah, sangkut kopiah
langkah lemah, mata terbuka payah

cuti yang menggebukan malas yang tersedia bugar
lalu rasa segar bila ditarik kembali gebar

istighfar

Sunday, January 27, 2013

puncak

tinggi, sayup pandang kanan dan kiri
sejuk, mahu aku dibujuk peluk
terang, malam aku bernyala rembulan, bergantungan bintang
kecil, meski tubuh makin besar tetap kerdil di sisi Maha Besar

aku di puncak, rancak
lupa panggilan nisan terpacak

Saturday, January 26, 2013

kenal (buat Angkatan 9903)

kau yang kukenali
dalam setiap ketawa dan air mata
masih di sisiku setia

lama sudah kita mengenali
dalam setiap rahsia dan cerita
masih terkemas amanahnya

sama membina
tali saudara
meski lama
tetap sama

kenangiku seperti mula waktu
kau kenaliku

Thursday, January 24, 2013

bersembunyi

aku lari
bersembunyi
malu yang kuconteng ke wajah sendiri
jalan yang ku pilih, ikut hati

aku bersembunyi
kerana selama umur hanya jadi lalang
dan bukan rumpun kuning padi

aku bersembunyi
daripada warna sebenar
sikap dan perangai

aku bersembunyi
sambil memerhati cermin
yang menghampar di dinding

semua yang aku katakan kurang betul
terpantul ke muka
setiap orang yang aku pandang salah
sama dosanya dengan aku yang jahil

Thursday, January 17, 2013

aku kini

aku terbuang
dalam ramai aku keseorangan
dalam riuh aku kesepian

aku dalam penerimaan
redha dan tabah
dan sabar
dan senyum
dan patuh
dan tunduk
dan kuat

aku kehilangan
dalam juang aku kecundang
dalam gagah aku rebah terlentang

cakap dan carut
dan maki
dan marah
dan wasangka
dan benci
dan geram


kini, ini aku
dalam sukar tetap mahu temani lenamu
hanya seisi langit fahamiku