Saturday, September 28, 2013

perbalahan

balah ini buat kita jauh
panas di hati gelegaknya melecurkan
jiwa yang bersih
gila di akal amukannya membutakan
iman yang samar

kau sahaja yang mahu menang
tiada pernah salah di lidahmu
kau sahaja yang mahu tinggi
tiada yang rendah pada kakimu
syaitan yang membisikkan hasut
panduanmu dalam beramalan

apa di dalam dadamu penuh bejana angkuh
sombong dan liar bercampur ingkar
sisi senyumanmu bagai membunuh kegembiraan
balah ini yang membezakan kau dan aku
meski bukan malaikat
atau iblis yang tidak mahu sujud

pernahkah walau sekali
hatimu terisi bahagia?

Monday, September 23, 2013

lentera

dalam palu gendang
dalam ketuk bonang
kelingkingnya meliuk
telunjuknya melentuk

dalam petik sitar dan sape
dalam gesek erhu dan gemersik salung seruling
matanya melirik
senyum di bibir kekal berlorek

suaranya bergema
gegar di udara
getar di sukma

sedunia terang kerananya
benderang mayapada dalam tepuk tawa
sampai akhir gemilanglah cahayamu

Wednesday, September 11, 2013

sendiri

pandangan ke dinding menembusi bayangan
gelitanya hati, hitamnya akal
betapa masih ada dosa yang tiada tercuci
dengan air tiga kali basuhan
lima kali sehari

oh tuhan
bergunungannya dosaku pada-Mu
masih aku diberikan nikmat hidup
di atas tanah-Mu
sayup lautan khianatku terhadap-Mu
masih Engkau melindungiku daripada petaka dunia-Mu

ampunilah aku
teruslah memimpinku ke jalan-Mu
dan tunjukilah padaku lorong ke pintu-pintu kurnia-Mu

Sunday, September 8, 2013

kiriman dari jauh

perjuangan
untuk menang harus tempuh banyak kalah
untuk senang perlu randuk banyak payah

hidup
meski pahit kerap diteguk tekak
tetap manis menanti di penghujung kelak

ada tuhan untuk mengadu
ada hati untuk berbisik
pandanglah hikmah dengan mata luas
moga jalan terbuka lebar untuk bebas

doa sentiasa mengiring tiap langkah
tabahlah, teguhlah
pada dirimu kutahu tiada lelah

Sunday, September 1, 2013

sembilan

bila tiba di bulan sembilan
aku teringat tanah kelahiran
damai, tenang
tiada benci dan dengki menjalang

bila sampai di bulan sembilan
aku bertanya kepada diri
tahun yang menuju hujung
apa yang telah aku isikan sejak awalnya
mana janji yang telah aku mungkiri
mana hati telah aku lukai

bila bulan sembilan tiba
kenangan manis dan pahit terpugar semula
yang elok jadi ingatan
yang buruk jadi panduan

sejauh ini jantung menghidupkan
moga tiap nafas memberi bahagia