Aryana hanya diam. Seperti ada batu besar menindih petah lidahnya. ‘Allah…’ Harinya benar-benar tiba. Malah, tiap lakon cerita yang dibayangkannya betul-betul terjadi. Dia terpempan, namun cuba menerima dan percaya. Semua itu sedang berlaku. Wataknya, lagu latarnya, suasananya..sama seperti apa yang dimimpinya.
“Jaga diri
baik-baik ya. Maaf kalau ada abang terkasar dan terguris hati..”. Fuad lalu
senyum tenang, diusap-usapnya kepala Aryana yang bertutup sempurna. Lantas
bibirnya mengucup dahi isternya itu. “Halalkan makan minum abang..”. Kemudian
Fuad tersenyum lagi.
Tangan
kanannya mendapatkan tangan kanan suaminya, terus dikucupnya. Tangan yang dia
tidak tahu bila lagi akan dapat digenggam dan dieratnya kuat-kuat. “Ampunkan
dosa-dosa Aryana, abang”. Dipeluknya tubuh sasa itu dengan kejap. Mata mereka
bertentangan, senyum berkuntuman. ‘Lindunginya…’. Kenangan itu masih basah
lagi.
Aryana
menahan air matanya. Dia mahu kuat di hadapan suaminya. Dia tidak mahu Fuad meninggalkannya
dengan melihat dirinya bersedih, meski hati dan jiwa wanitanya terlalu hiba dan
sebak. Dia memejamkan mata rapat-rapat, menarik nafas dalam-dalam dan dilepas
perlahan. Dahi Fuad dikucupnya. Dia redha melepaskan pelindungnya itu pergi.
‘Rahmatinya, berkatinya..’. Kain putih dilabuhkan dan tertutuplah wajah bersih
lagi tenang Fuad.
Kenderaan
yang membawa suaminya serta beberapa orang sukarelawan sebuah misi perubatan ke
Semenanjung Gaza yang lain remuk dirempuh sebuah lori kontena sarat berisi
muatan tembaga tulen ketika dalam perjalanan menuju ke lapangan terbang. Aryana
sepatutnya menyertai misi tersebut namun namanya digugurkan kerana sedang
mengalami alahan kehamilan yang berat.
Bunga rampai
ditabur, air mawar disiram. Dalam doanya, Aryana memohon supaya suaminya
ditempatkan di tempat tertinggi di sisi-Nya. Jauh di hatinya, ada satu perasaan
yang menenangkannya. Fuad meninggal dunia sewaktu dia sedang melakukan satu pekerjaan
yang mulia. Akan diceritakan kepada anak yang sedang dikandungkannya itu bila
ia lahir dan faham kelak bahawa ayahnya mati sebagai seorang pejuang, pejuang
yang mahu melindungi orang-orang yang ditindas dan dizalimi.
Aryana
berkata kepada dirinya, betapa ujian yang sedang dihadapinya ini terlalu kecil
untuk dibandingkan dengan ujian yang sedang didepani penduduk Gaza. ‘Ya Allah,
Engkau rahmatilah, berkatilah dan lindungilah saudara-saudaraku di Gaza. Engkau
hentikanlah segala macam kezaliman dan permusuhan. Angkatlah dari mereka
kesusahan, bala, peperangan dan permusuhan. Amin, Ya Rabbal Alamin'.
Kedamaian
memenuhi setiap ruang hati Aryana.
x x x
pencerahan perihal #ZineUntukGaza di sini
muat turun pdf #ZineUntukGaza di sini
No comments:
Post a Comment