Tuesday, April 10, 2012

subuh terakhir

jaga lebih awal daripada penggera
teguk sedikit air pelancar cerna
sucikan tubuh dalam dan luar
pancurkan air meski sejuk ketar

pilih sarung elok bertenun
padan bersama baju temurun
semburkan wangian kegemaran
harumnya membangkit ketaqwaan

lajukan langkah
zikir buat pembasah lidah
umpamanya ini Subuh terakhir
tanda janji tak pernah mungkir

cita-cita

rencanakan hari depanmu
agar jalanmu satu
pada tinggi mercu

kalau tersekat di pertengahan
kembali pada awal impian
cekalkan hati, kuatkan perjuangan

kalau deras menuju jaya
usah lega lupa dunia
syukur sentiasa dalam jiwa

takdir kita punya beza
jalan pun lain siurnya
meski tuju arah sama

iman panduan hati
ilmu penerang sejati

Monday, April 9, 2012

kek

sukat hati-hati
salah sukat tak jadi
bazir nanti

adun dan pukul biar rata
masukkan dalam bekas bentuk bata
bakar pada suhu sepatutnya
tetapkan masa jangan terleka

masak sudah lalu sejukkan
keluarkan dari acuan

mahu dilapis
mahu dilumur
suka hati

bolehlah potong
perut tak lagi kosong

pondok bas

sesak
lebih lawan jantina
bising seperti pasar ikan

macam-macam bau
pening kepalaku
macam-macam laku
aduhai bangsaku

bila bas datang
serbu
alahai saudaraku

tengah hari

terpijak bayang-bayang
anak mata mengecil
hari sudah tinggi

oh, tengah hari
separuh siang pergi
sedang malam menanti

sudahkan tugas segera
mahu jamu selera
dapatlah berlapang nyawa

dhuha

jangan lalaikan aku
lindungiku
dakaplah ku erat-erat
siramkan nikmat

jika di langit, turunkanlah
jika di bumi, keluarkanlah
jika sukar, mudahkanlah
jika jauh, dekatkanlah
jika haram, sucikanlah

dengarkan pintaku
dalam dhuha-Mu


tari

melodi rancak bernada di capang
angguk kepala perlahan
terbeduk-beduk perasaan

langgam ibunda berlagu
goyangkan bahu
lenggokkan pinggulmu

lagu mendayu
ligatnya emosi
hilangkan sendu
matikan rawan

lima enam tujuh lapan

Sunday, April 8, 2012

mimpi

hamparkan aku permaidani biru
mahuku atur langkah beribu
laju, bagai kejar sesuatu
yakin tanpa ragu-ragu

lantas ke kanan penuh nikmat
pusing ke kiri lambakkan azab
imaginasi mengatasi mimpi
lari laju, bagai dikejar sesuatu
pelangi dan petir bersatu

ternampak cahaya asli
menggamit hala hati
terjaga

peluh bertitik di dahi

ampuni dosaku

dosa yang berat di kiriku
noda yang zulmat di hatiku
ampuniku

moga masih dalam pilihan-Mu
dan mati nanti dalam tauhid-Mu

tanah tinggi genting

tolak pelawaan
ke Tanah Tinggi Genting
sebab di lurah rendah ini
banyak perkara penting

masa semakin genting
kaki bagai hujungan tirus ranting

menang sorak iman tergadai
hanyut dalam suara sorai

yang dapat segembiranya
yang tiada senyum sepuasnya
kekal kita hanya di sana
dalam lumba kejarkan dunia

Ahad tiba lagi

Ahad tiba lagi
cuci baju dalam peranti
kunyah roti

Ahad tiba lagi
kemas sana situ sini
hirup kopi

Ahad tiba lagi
mandi sampai wangi
biar berseri

Ahad tiba lagi
cari sarapan idaman kantung kiri
belanja ikut hati

Saturday, April 7, 2012

kapal tenggelam

keluar bersama teman
hajat menonton kapal tenggelam
namun hampa menanti
durja lagi

pilih-pilih celana putih
sepatu kuning juga
kopi sesisip dua dan air bebola

manisan rampai rasa
usah hindarkan harga
kongsi bersama

suluhkan muka
dan teman berkata
cermin boleh diganti
kecantikan abadi

Friday, April 6, 2012

jalan p ramlee

kelip-kelip lampu
tersilau pandanganku
picit hon semahu hati
sengaja beri lampu tinggi

bila hijau lintaslah jalan
lenggok penuh sopan
solek di muka
bercahaya lawa

terap tanda pada lengan
langkah ke lantai beriringan
ke kamar kecil segarkan wajah
singkatkan yang labuh, luaskan yang terdedah

irama bertukar ganti
gendangkan di hati
lincahkan kaki
di Jalan P Ramlee



menuju segi tiga

hujan membasuh kesunyian
hati yang mendung jadi benderang
teman datang bawa kelebihan
dan terusirlah jemu ranjang

riaskan wajah
dengan warna indah
biar yang tenggelam jadi menyerlah
biar yang timbul bertambah meriah

pantaskan pacuan
menuju segi tiga
lubuk segala noda
serakah jiwa

Jumaat indah

potong kuku
dan bulu
sebelum keluar mandi dulu
segerakan langkahmu
usah lupa berharum narwastu

pakai yang terbaik
jangan pelik-pelik
hulurkan sedekah
semoga diterimalah

hal dunia tak usah ucap
diam, usah bercakap
dengar dan hayati khutbahnya khatib
sambil dalam hati tak henti ratib

kanan itu terlalu mudah
Jumaat memang indah

Thursday, April 5, 2012

bulan mengambang

bulan mengambang
bertaburan bintang
kepul awan bergantungan
seenak pandangan

bulan mengambang
taqwa berkembang

setiap orang ada ceritanya

setiap orang ada ceritanya
siapalah kita untuk adilinya

kaya bertambah laba
miskin terus hina
besar pangkat akhirnya terlucut jua
kecil diangkat jadi mulia
sayang hanya tinggal bayang
kasih tersisih terlalu luka melampaui pedih

bicara penuh tawa
durja muram berlinangan air mata
sanggul lintang lagikan berlitup
baru naik mengenal hidup

setiap orang ada ceritanya
siapalah kita untuk adilinya
kamu bahagia, saya tumpang gembira

irama sarapanku

karipap
kuih ketayap
susun dalam piring
sebelah pisang goreng

kopi O panas
Milo tarik empat gelas
alihkan bekas abu
ambilkan pau kacang merah kulit gebu

sebuku roti berinti sekaya
pulut panggang hidang dalam talam gambar bunga
kendi air buat basahkan hujung jari
kunyah perlahan-lahan, koyakkan hati-hati

nasi lemak sambal kerang
buat penambah kenyang
aminkan doa sebelum dan sesudah
mulakan hari yang indah

pulau mutiara

hangatnya mainan kisah kita
ke mana saja rangkul bersama
bicara hati ke hati
menyeringai dan nampakkan gusi bergigi besi

tempik dan muncung
ke mana saja sama kita lencong
berbumbung kuning kita berkubang
tawa lara kita bergempita tiap masa sembang

tari yang kita gerakkan
malaikat yang sama kita dambakan
indah, cerita kita penuh warna
lazat hidangan kita hadap bersama (terpaksa)

hangatnya kisah kita
di pulau mutiara

rindu Jannah iii

dari jauh kulemparkan pandang ke arahmu
benderang mahkotamu masih menggoda amalku
terang, bintangmu berkemilauan
kembang, kau penuh dengan kemanisan

tariklah aku kepadamu
biar ternikmat dendam di kalbu
serakkan kasih, meski aku berluka pedih

serulah namaku sedaya hatimu
biarku jadi debu di dinding-dindingmu
takdir yang telah tercatit lama
jadikan kenyataan melebihi layar mata

kuakkan gerbangmu
doakan hadirku

Wednesday, April 4, 2012

larut

terlalu mahu ke dalam kamu
setiap waktu hendak rasaimu

atmosferaku penuh dengan kamu
belakangku sentiasa untukmu

apa jua kufikiri
ada saja kau hampiri
aku larut dalam mimpi
basah dan kering lisuku
keranamu

tuangkan aku segeluk jampi
biar harummu kekal mewangi

kupu-kupu

otak buntu
ada kupu-kupu
sayap lebar daun pintu
berdebu tepu

tolong terbang kupu-kupu
jauh dari pintu

dengariku

ajaib itu milik tuhan
mesti percaya

aib itu milik insan
mesti pelihara

kurniakanlah tubuh yang sihat
biar panjang waktu ibadat
berkatilah setiap tindak
jauhi riak

rahmatilah kami
ampuni segala kotor dosa

nafsu

biryani
ayam madu bukan kepak
sepotong daging
lembu, tak mahu kambing
nanti pening
kacang panjang goreng
kuah campur kari lebih
telur rebus sekali, boleh?
eh, tambah sotong
tolong potong

air nanas satu
suam, tak mahu batu

nafsu

Siti

rendah hati
tinggi pekerti
baik budi

bawa cahaya
benderang semesta
bawa gembira
senang sedunia

elok bicara
bila berkata
molek bahasa
bila bersuara

masyhur
sini situ sana Siti

kisah aku dan jiwaku

kisah ini tentang aku
dan jiwaku

perihal cinta yang pergi
cerita kasih yang mati

jiwa kamu
alasan bertingkat
ulasan tak pernah singkat
hanya datang bila mahu
selalu hilang bila perlu
suka dekat dengan sebab
kerap jauh tak beradab
hari ini terlupa janji
esok pula terlepas keretapi
lusa kapal belum masanya berlabuh lagi
tulat ulang yang sama kembali

kisah ini tentang aku
dan jiwaku
bukan nashkah kamu

ambil cermin suluh wajah
jalan lah

Tuesday, April 3, 2012

usaha taqwa mulia

usaha
gandakan, usah putus asa
jangan mudah kecewa
atau sambil lewa

taqwa
lekatkan, usah pernah lupa
jangan mudah leka
atau sengaja cari murka

mulia
rendahkan, usah terlalu bangga
jangan mudah gelap mata
atau hanyut dengan dunia

nilaikan diri
bersihlah hati