Sunday, April 22, 2012

kayuh laju-laju ii

kayuh laju-laju
sampai pecah peluh
apa dalam baju
hanya kulit lusuh

kayuh laju-laju
biar hati riang
apa dalam baju
buku hutang orang

kayuh laju-laju
mahu sampai lekas
apa dalam baju
bulu belum tebas

kayuh laju-laju
jangan langgar lopak
apa dalam baju
kulit corak sopak

kayuh laju-laju
nanti peluh gila
apa dalam baju
hati penuh cinta

Saturday, April 21, 2012

rahsia kita

bila siang terang
kau pandang tepat ke mataku
godaku dengan senyum manis
geloranya menggoncang iktikad hatiku

bila malam menjelang
kau menyusup ke kamarku
ulitiku dengan cinta kasihmu
nafas kita sama deras
laku kita tiada batas

aku rangkulimu
engkau kemudiku

sengketa masa kita lerai
penyelesaian hal dihurai
pemurniannya kita lakar bersama
giranglah batin akan keputusannya

ini rahsia kita
senjatanya hanya kau dan aku yang ada

Friday, April 20, 2012

bungaku

aku lelah dalam udara
lemah dan kesempitan
dada berombak kencang

aku resah tanpa mentari
hilang tenagaku
lelakiku layu dan kaku

ada terlihat akan kamu
di satu sudut
tersenyum riang
bercahaya benderang

mekarmu damaikan hati
segar harummu nyamankan nafasku
usah layu, bungaku
kekallah berkembang untukku

Thursday, April 19, 2012

kali terakhir

kau genggam tanganku
sambil usap bahuku
sejuk malam menghanyutkan kita
noda dan pahala bersengketa

kau senyum padaku
sambil belai rambutku
hangat malam mencairkan kita
hingga terlupa duka dan luka

bintang bertaburan di hati langit
bulan tersenyum manja
bayu malam mendamaikan resah kita
meski tercubit kulit dengan ketarnya

itulah kali terakhir
detik kita berdua
kenangannya jadi penghubung jiwa

moga kau masih bersadur cinta
kerana aku tetap setia
dalam balut asmara

Wednesday, April 18, 2012

nilaiku di matamu

emaskan aku di matamu
sepertiku lebihkan pentingmu
melebihi nilai nyawaku

tiada ku mahu simpati
cuma mahu kau sedari
apa yang telah aku beri
selama ini

bila aku kecil di matamu
lebih aku seni di fikiranmu
jauh lagi di hatimu

mana saja kau pergi
usah lupa akan nilaiku
meski hanya orang tewas di matamu


Tuesday, April 17, 2012

kerinduanku

kasih yang panas
setiap tarik dan lepas nafas
selubungkan tubuh setebal mana pasti peluh
simbahkan air segigil mana tiada suam

cinta penuh merah
besar menyala di hati
ragamkan apa saja tak terpadan
padamkan dengan taufan tak terbadai

sayang terlalu padu
manis sukma melangkahi madu
bukan larut bersama arus masa
atau luput menawarkan rasa

inilah kerinduanku kepadamu
kekal hidup dalam nyawaku

dakap aku

tuhanku
teruslah dakap aku
dengan ihsan-Mu
dan belas-Mu

doaku tiada putusnya
percayaku tiada tamatnya

teruslah pilihku
dan dakapiku

Monday, April 16, 2012

kayanganku

udaranya tulen
rona kirana
cahaya terang

aman di sini
nyaman menambah seri
penuh ekspresi asli

ini kayanganku
selesa tanpamu
tanpa seteru

Sunday, April 15, 2012

rejeksi

aku panjangkan permohonan
namun dinafikan lagi

tidak aku ketahui punca
mengapa
aku tertanya-tanya

rejeksi
senyum sendiri

cikgu

percaya nusa di bahunya
buku ringkasan setia dibimbitnya
rotan nipis sehasta juga

pakainya biasa lagak tenang sentiasa
senyum di wajah selalu berbunga
bahasanya sopan namun ada tegas bersama

sabarnya lebat ikhlasnya padat
mahu dibentuknya jadi sebaik-baik umat

laki-laki

laki-laki itu sifatnya memimpin
punca tenaga khalayak sekeliling
laki-laki itu sifatnya melindung
pertahankan semua setiap darinya

laki-laki itu sifatnya memahami
yang asing dan lazim di dalami
laki-laki itu sifatnya menghormati
tua dan muda sentiasa dikasihi

laki-laki itu bukan kalis dosa
ada kalanya terpalit noda

Saturday, April 14, 2012

bersalah

kata-kata bisa mengguris
menikam perasaan
membunuh kepercayaan

bila bersalah pohonlah maaf
biar jernih keruh yang datang
bukan lari tinggalkan semua
lupakan segala

masih dibelenggu
bersalah kepadamu
maafiku, terima kembali aku

sakit

di tekak ada kahak likat
di hidung ada hingus pekat
melekat, ketat

kepala pusing
fikiran runsing
dahi panas
rimas, lemas

barulah mahu hamparkan sejadah
sentuh kitab agung, alunkan indah-indah


hari lahir

selamat hari lahir
buat mutiara sebutir
moga senyum terus berukir

hari lahir
usah ragu bercampur khuatir
pasti berbahagia hingga ke akhir

lahir
adalah permulaan baru
menuju henti waktu

Friday, April 13, 2012

hidup perlu pandang ke depan

hidup perlu pandang ke depan
dan sesekali toleh ke belakang
buat iktibar dan pengajaran

hidup perlu pandang ke depan
sigapkan langkah menuju impian
sabar bila halangan datang

hidup perlu pandang ke depan
bagai esok adalah penghabisan

sepatu mahalku

hujan melimpah di tanah bertuah
aku yang kesejukan berjalan perlahan
menuju pondok sewa
dengan sekaki payung warna merah bata

aku pandang ke sepatu mahalku
suku bulan gaji harganya
hari ini tugasnya sedikit berat
namun kutahu mereka gembira
ya, gembira

kenangan

sudut ini tempat kita bercanda
bangku ini tempat kita berbual mesra
hirup kopi dan menikmati mentari pagi
panasnya meresap masuk ke lubuk nurani

di ranjang ini kita sama buntu
kuatkan iman melawan godaan nafsu
di bawah pohon ketapang kita bersantai kala lapang
memerhati mega di langit pada hujung petang

kucupanmu masih basah di dadaku
rangkulanmu hangatnya berbahang lagi di rusukku


Thursday, April 12, 2012

di gigi laut

aku pandang ke laut luas
biar tak nampak hujungnya
tapi kutahu kau menantiku di sisirnya

aku depangkan tangan ke arahnya
anginnya menggoyangkan dada
melayangkan perca-perca cinta kita
tersentuh di pipiku sepertinya itu sentuhanmu
bibirku menguntum senyum, hatiku tersipu

tiap kali aku rindukan kau
aku ke mari di gigi laut
jauhnya kau terasa bagai melekat di sisi
hilangnya kau bagai semalam kita bersenda di hujung talian
terdengar-dengar di telingaku derai ketawamu

ombak yang menghempas
derunya membadai jiwa

hampa

hampa bukan pilihan
tetapi adalah kepastian

tangis yang aku randuk di hati
siapa terdengar esaknya
bayangku pun tak mampu fahami

sesal yang menyimpai perasaan
sepertinya kesal yang mencakar kelukaan


menuju pondok tuhan

aku berjalan sendiri
angin menyapa pipi
taqwa mengetuk hati

sekejap-sekejap daun bergeseran
ada yang jatuh di bahu jalan
aku langkahkan perlahan
dengan hanya sesudu iman

tidak panas dan tidak terang
hanya samar-samar benderang
selekoh ku luruskan
menuju pondok tuhan

bagai waktu sedang berhenti
berselang bunyi degup nadi



lumba lari

tuju garisan tumpu ke hadapan
bersedia dan hayun penuh siaga

laju lagi demi semua
lari merebut piala

menang dalam sesak nafas
kaki tertusuk duri

Wednesday, April 11, 2012

aku ini

aku ini seharum bunga
sampai masa gugur dan hina

aku ini selautan cinta
sepanjang masa bergelora

aku ini seisi dunia
hidup mati tak sia-sia

sayangiku sepertiku ulitmu

sayangiku sepertiku ulitmu dengan nyawaku
tiada terlepaskan
perkasakan genggaman, eratkan ganding lengan
kuku dan isi sealir darah memancar merah cerah

sayangiku sepertiku ulitmu dengan takdirku
tiada terjangkakan
hitam matahari atau gemilang susun bintang
hujung laut lepas luasnya
berkunjung maut pun tiada perginya

sayangiku sepertiku ulitmu dengan seluruhnya
pancalogika tiada tercapai

pandu belakangmu

kepekatan ini
ada susuk yang bekerja
tambah belanja
kerana realiti kini
tiada yang percuma
termasuk tuala

lentikkan jari
dan pandu belakangmu

sudah sampai


Tuesday, April 10, 2012

kalau masa dapat aku undurkan

malam sepi
bintang tiada terhitung
rembulan terselindung

aku sendiri
renung nasib hidup
kembang atau kuncup

kalau masa dapat aku undurkan
semuanya mahu seperti yang aku aturkan
tiada berduka hiba
atau luka durja
hanya gembira
inderaloka

ini takdirku
setingginya aku sanjungi
tak pernah ragui

anak kecilku

anak kecilku
usah menangis lagi
keringkan pipi

anak kecilku
jangan teriak lagi
ku dakapmu erat kini

tiada perlu kau risaukan
aku ada di sini menemani
biar jauh ke bulan
kau tahu aku sentiasa dekat di hati

anak kecilku
tiada perlu rugikan air mata
sayap malaikat memeluk kita
sampai akhirnya

sesat

sinarkan aku suluh yang terang
biar nampak jalan terhalang
silaukan aku relap yang benderang
biar terlihat destinasi hari depan

gelap langitku cerahkan
kelabu awanku putihkan
layu cambahku hijau malarkan
kering akarku selautan mohon simbahkan

tercari-cari tiada pasti
sesat, mata anginku barat