Saturday, March 9, 2013

tunggulah

di sana nanti, kau tunggulah aku
di pintu mana pun akan aku muncul
biarlah timbang tara tidak sebelahi
sabarkan hati waktu kau menanti

di sana nanti, kau tunggulah aku
datang aku dengan mahar
dan manis lamar
selamanya kita berbahagia di dalamnya

di sana nanti, kau tunggulah aku
terimalah aku seadanya
hitam atau putih
tuhan yang menilaikan

di sana nanti, kau tunggulah aku
dengan senyum ikhlasmu

Sunday, March 3, 2013

hanya seorang lelaki

hanya seorang lelaki
jadi kemudi

hanya seorang lelaki
jadi wali

hanya seorang lelaki
jadi panji

payung untuk berlindung
perisai untuk bertahan
lengan untuk memeluk
bahu tempat bertangis
riba tempat mengalas

hanya seorang lelaki
jadi abdi

Saturday, March 2, 2013

berita angin

ekor mata lirik hujung melihat mungkar
cuping telinga menggema cakap onar
hati berdetik sama mahu sabar atau bongkar

berita di atas angin
mudah benar jadi percayanya padamu
tanpa tentu punca sudah kau susurkan hala

berita di atas angin
terlalu pantas dihadam kantung perutmu
bagai dangkalnya tapis mindamu

cepat kita memutuskan
antara kekesalan dan kebenaran

Monday, February 25, 2013

berkumandanglah azan di setiap sudut

berkumandanglah azan di setiap sudut
sedang insan berhadapan kemelut
seorang berperang dengan takdir
seorang berperang dengan jiwa
dua orang berperang dengan keistimewaan

berkumandanglah azan di setiap sudut
sedang perasaan segalanya bergelut
nyawa yang di hujung sayap Izrail
rezeki yang di dalam gayung Mikail
kain putih bisa tercorak apa saja
mahu dipupuk dan dibaja jadi manusia

berkumandanglah azan di setiap sudut
sendiri di atas barisan hidup
kesudahannya tiada yang tahu
sampailah kering dalam tanah


Tuesday, February 19, 2013

di atas baringan

lemah, batang tubuh puas dikerah
lelah, ombak di dada kempis luah terdedah

pasangkan kipas lima bilah
baring atas lantai kayu merekah

hilang letih jadi segar
datang semangat cergas bugar

harapan dan janji yang terkemas simpan
sabda jadi ikutan

Monday, February 18, 2013

aku dan sehelai kain kesumba

bertiuplah angin
khabar yang melayang bersamanya
sejuk jadi panas hawa suasana

menggunung berdiri bukit yang hijau
terik mentari memercikkan peluh bertitik
di dahi dan di dada yang kemerahan

terbanglah merpati di awan bebas ria
carilah arah dan rezeki merata
angin yang membelai dada dalam kemerahan
helai kesumba di pinggang tersingkap manja

basahlah asmara di dalam hayunan logamaya

Sunday, February 17, 2013

pada satu malam

pada satu malam
hati rasa suram
sedih asyik bungkam

pada satu malam
langit hitam kelam
bulan wajah muram

pada satu malam
golek atas tilam
satu alam diam

pada satu malam
kenang dosa silam
tangis esak dalam

pada satu malam
bulan murung, muram

Thursday, February 14, 2013

satu kotak berbentuk hati

dalam tubuh kita
ada satu kotak berbentuk hati
penuh keinginan serta nafsu-nafsi
pada kitalah yang memimpin jalan ingin dilalui

satu kotak berbentuk hati
mahu diturut kehendak meski benar ataupun silap
mahu dilurut lentur supaya akur dengan batas ketetapan
salah asuhan jadi dendam, penuh geram
betul ajaran jadi abid, penuh selawat tahmid

mentimun yang di tangan kiri
pisau yang di tangan kanan
hanya kotak berbentuk hati dapat memberi jawapan

Tuesday, February 12, 2013

selamat ulang tahun, Ex

semoga usia yang bertambah
buat kau tak lupa sejarah
dan kisah-kisah basah kita

semoga usia yang bertambah
buat kau makin matang
menangani ujian dan tekanan yang datang

semoga usia yang bertambah
buat kau menghargai yang ada di tangan
dan mempelajari yang terjadi di hari belakang

selamat ulang tahun, Ex
dengan kau aku pelajari sesuatu

Monday, February 11, 2013

mencari Tuhan

pandang ke barat
nian cantiknya mentari terbenam
sama khusyuknya sujud menyembah
di hamparan sejadah

pandang ke timur
terlalu syukurnya mentari masih terbit di sini
entah kalau sudah jatuh nanti
apa yang tersedia mampu bawa ke syurga
sama tunduknya hati mengagung tuhan
atau sama palingkan wajah dari kiblat

pandang ke atas
luas, penuh rahsia dan segala bisik cahaya
pandang ke bawah
dalam, jenuh mahu diselam
takut tenggelam dan hilang tentu samar siang ataukah malam

bintang kelodan tersisir di pipi bumi
masih menghalalkan yang nyata haram
keangkuhan yang tebal merajai hati hitam

Sunday, February 10, 2013

menjanji cinta

di telapak kananku manis cinta
di telapak kiriku pahit kenyataan alam
hati yang mati terjanji cinta
tubuh yang gering terpanji setia

orang yang menjijikkan bahasa-bahasa manis
orang yang meludah santun halusnya lidah nenek moyang
di hatinya sudah tiada nikmat merasai
hanya tipu daya jadi kawan sama kurang syukurnya

telah terjanji cinta
merahnya bernyala-nyala

Saturday, February 9, 2013

penyucian

hitam dan jelaga yang membalut kulit
adalah bukti kebodohdunguan
berpalitan noda dan dosa dalam daging
dan hati

siramkan air mutlak segeluk
nipiskan biar rata setubuh
singkirkan yang najis-najis
alirkan yang manis-manis

sucikanlah
yang sepatut dan layak
biar penilaian seiring kata-kata

Friday, February 1, 2013

selalu rindu

mahu lupa tapi tak mampu
mahu gila tapi tak lalu

rindu menghilangkan matang fikir
dan jelas taakul, bagai tersihir

apa rindu bila berdepan jadi benci
apa rindu bila mendekat jadi Israel
apa rindu bila bersama jadi asing
apa rindu bila terlalu mahu jadi hambar
apa rindu bila jujur jadi salah

di hati rindu selalu
biarlah masa yang menamatkan

Monday, January 28, 2013

cuti

lipat sejadah, sangkut kopiah
langkah lemah, mata terbuka payah

cuti yang menggebukan malas yang tersedia bugar
lalu rasa segar bila ditarik kembali gebar

istighfar

Sunday, January 27, 2013

puncak

tinggi, sayup pandang kanan dan kiri
sejuk, mahu aku dibujuk peluk
terang, malam aku bernyala rembulan, bergantungan bintang
kecil, meski tubuh makin besar tetap kerdil di sisi Maha Besar

aku di puncak, rancak
lupa panggilan nisan terpacak

Saturday, January 26, 2013

kenal (buat Angkatan 9903)

kau yang kukenali
dalam setiap ketawa dan air mata
masih di sisiku setia

lama sudah kita mengenali
dalam setiap rahsia dan cerita
masih terkemas amanahnya

sama membina
tali saudara
meski lama
tetap sama

kenangiku seperti mula waktu
kau kenaliku

Thursday, January 24, 2013

bersembunyi

aku lari
bersembunyi
malu yang kuconteng ke wajah sendiri
jalan yang ku pilih, ikut hati

aku bersembunyi
kerana selama umur hanya jadi lalang
dan bukan rumpun kuning padi

aku bersembunyi
daripada warna sebenar
sikap dan perangai

aku bersembunyi
sambil memerhati cermin
yang menghampar di dinding

semua yang aku katakan kurang betul
terpantul ke muka
setiap orang yang aku pandang salah
sama dosanya dengan aku yang jahil

Thursday, January 17, 2013

aku kini

aku terbuang
dalam ramai aku keseorangan
dalam riuh aku kesepian

aku dalam penerimaan
redha dan tabah
dan sabar
dan senyum
dan patuh
dan tunduk
dan kuat

aku kehilangan
dalam juang aku kecundang
dalam gagah aku rebah terlentang

cakap dan carut
dan maki
dan marah
dan wasangka
dan benci
dan geram


kini, ini aku
dalam sukar tetap mahu temani lenamu
hanya seisi langit fahamiku

Monday, December 31, 2012

menuju tiga belas

dirangkul rindu kepadamu
aku meluncur laju menuju tiga belas
berteman kuning raja pada pandu
dan keping-keping besar kertas

percik api yang berbunga
membakar kertas beriring tawa
setanah sama sorai membingit
dalam campur aduk sejuk panas menghimpit

pada tiga belas dituliskan harap
moga semuanya jadi bagai yang dihitung darab


Tuesday, November 27, 2012

Gaza

Aman Palestin Berhad
Bank Islam 12029010047880
Maybank 562263010787
Bank Muamalat 12070005133717
RHB Islamic Bank 21245760004907
Bank Rakyat 22-080-619592-2

Aqsa Syarif Berhad
Maybank Islamic 5515 7500 4299
Bank Islam 12 092 01 003490

Pertubuhan Viva Palestina Malaysia
Maybank 564 324 601 324


#PrayForGaza

#ZineUntukGaza

Doa Buat Gaza

Aryana hanya diam. Seperti ada batu besar menindih petah lidahnya. ‘Allah…’ Harinya benar-benar tiba. Malah, tiap lakon cerita yang dibayangkannya betul-betul terjadi. Dia terpempan, namun cuba menerima dan percaya. Semua itu sedang berlaku. Wataknya, lagu latarnya, suasananya..sama seperti apa yang dimimpinya.

“Jaga diri baik-baik ya. Maaf kalau ada abang terkasar dan terguris hati..”. Fuad lalu senyum tenang, diusap-usapnya kepala Aryana yang bertutup sempurna. Lantas bibirnya mengucup dahi isternya itu. “Halalkan makan minum abang..”. Kemudian Fuad tersenyum lagi.

Tangan kanannya mendapatkan tangan kanan suaminya, terus dikucupnya. Tangan yang dia tidak tahu bila lagi akan dapat digenggam dan dieratnya kuat-kuat. “Ampunkan dosa-dosa Aryana, abang”. Dipeluknya tubuh sasa itu dengan kejap. Mata mereka bertentangan, senyum berkuntuman. ‘Lindunginya…’. Kenangan itu masih basah lagi.

Aryana menahan air matanya. Dia mahu kuat di hadapan suaminya. Dia tidak mahu Fuad meninggalkannya dengan melihat dirinya bersedih, meski hati dan jiwa wanitanya terlalu hiba dan sebak. Dia memejamkan mata rapat-rapat, menarik nafas dalam-dalam dan dilepas perlahan. Dahi Fuad dikucupnya. Dia redha melepaskan pelindungnya itu pergi. ‘Rahmatinya, berkatinya..’. Kain putih dilabuhkan dan tertutuplah wajah bersih lagi tenang Fuad.

Kenderaan yang membawa suaminya serta beberapa orang sukarelawan sebuah misi perubatan ke Semenanjung Gaza yang lain remuk dirempuh sebuah lori kontena sarat berisi muatan tembaga tulen ketika dalam perjalanan menuju ke lapangan terbang. Aryana sepatutnya menyertai misi tersebut namun namanya digugurkan kerana sedang mengalami alahan kehamilan yang berat.

Bunga rampai ditabur, air mawar disiram. Dalam doanya, Aryana memohon supaya suaminya ditempatkan di tempat tertinggi di sisi-Nya. Jauh di hatinya, ada satu perasaan yang menenangkannya. Fuad meninggal dunia sewaktu dia sedang melakukan satu pekerjaan yang mulia. Akan diceritakan kepada anak yang sedang dikandungkannya itu bila ia lahir dan faham kelak bahawa ayahnya mati sebagai seorang pejuang, pejuang yang mahu melindungi orang-orang yang ditindas dan dizalimi.

Aryana berkata kepada dirinya, betapa ujian yang sedang dihadapinya ini terlalu kecil untuk dibandingkan dengan ujian yang sedang didepani penduduk Gaza. ‘Ya Allah, Engkau rahmatilah, berkatilah dan lindungilah saudara-saudaraku di Gaza. Engkau hentikanlah segala macam kezaliman dan permusuhan. Angkatlah dari mereka kesusahan, bala, peperangan dan permusuhan. Amin, Ya Rabbal Alamin'.

Kedamaian memenuhi setiap ruang hati Aryana.

x x x

pencerahan perihal #ZineUntukGaza di sini
muat turun pdf  #ZineUntukGaza di sini

Saturday, November 10, 2012

putih, hitam dan kelabu

(sempena Puisi Satu Petang Ipoh)

tubuh yang mulus suci
putih gadingnya jadi saksi
jangan biar tercalit arang
pasti hitam biar selorek 'kan tampak malang

hati yang tulus suci
jernih putihnya jadi janji
jangan biar bertukar hitam
berselirat benci, amuk dan bersimpai dendam

kalau masih dalam jalan betul
kekallah selamanya di situ
usah belok ke kiri atau lawan arus
kekallah selamanya di situ
jangan pernah berhenti perbaiki mana yang lemah
dan terus cerlang jayakan mana yang telah gagah

hati dan jiwa yang murni suci bersih
pasti putihnya 'kan bernyala cerah sampai hujung
kalau sudah terbalut dan terlahad tujuh kaki di perut bumi
tiada habuk dan debu dapat hitamkan tanahnya
atau terbakar jadi abu dan kelabu nisannya

kita hamba tiada jauh dari khilaf
ruang dan jeda terlalu banyak dan luas nian buat kita tunduk maaf

Sunday, October 28, 2012

gembira begini

matahari memancar
langit selalu cerah
kadang-kala lebat hujannya
angin bertiup dan pohon melambai
malam hangat berteman nyamuk
makan hanya bila ada
berlapar bila tiada

poket kosong, otak beku
kalah dan jelik
dan jijik di mata orang
hadapi hari-hari sebelum mati sendirian
itu semua tidak berat
dalam tanah nanti sendirian juga
kalau banyak dosa berteman ular dan kala
kalau banyak pahala tak tergambar nikmatnya

yang wajib masih didirikan
gembira begini

Saturday, October 27, 2012

aku yang mengadu di sini

aku duduk diam berteleku
di atas hamparan sambil mengadapmu
bunyi timpaan air ke atas rumput dan bumi menemani
sejuk yang terasa hangat memeluk badan

terlalu rindu dan terlalu sedih
dan terlalu sukar
memang rintih tanpa usaha itu salah
namun ini untuk entah ke berapa kali aku rasa maha kalah
punca yang aku cari masih seliratnya membingungkan
telah aku kembali ke awal permulaan tapi tiada aku jumpai garisannya

terangi jalan untukku
ya, untuk aku
yang mengadu di sini

Friday, October 26, 2012

aku hanya kebanyakan

aku hanya kebanyakan
semuanya biasa-biasa saja
hidup sederhana
makan dan pakai sederhana

aku hanya kebanyakan
belajar biasa-biasa saja
kerja sederhana
gaji dan pangkat sederhana

aku hanya kebanyakan
hidup biasa-biasa saja
solek sederhana
baju dan celana sederhana
sepatu sederhana

tulis pun sederhana

Thursday, October 25, 2012

kau tulis dan aku pun tulis

kau tulis dan aku pun tulis
sama-sama luahkan apa yang terbuku di hati
tidak pernah akui selalu betul
dan mahu mengakui bila salah

kau tulis dan aku pun tulis
sama-sama kongsi cerita, kongsi rasa
selalu aku dapat agak penutup tulisan kau
selalu kau tak dapat tangkap apa yang aku nak sampaikan
kalau ayatmu menangkap, aku suka
kalau ayatku memerangkap, padan muka

kau tulis dan aku pun tulis
sama-sama belajar, mengejar
yang kau kejar, nama
yang aku kejar, percaya

bila engkau selalu betul
jarang kau mengaku bila salah

Wednesday, October 24, 2012

Pengasih dan Penyayang

masih bernafas lagi
masih bernyawa
masih solat

syukurilah
meski ada yang tiada terkabul