Tuesday, April 3, 2012

undi

buka peti pesanan
hantar

ulang langkah berkali-kali
undi

bas dan teksi

bas
bilaku tunggu
tak lalu

teksi
bilaku nanti
berisi

tebalkan sabar diri
istighfar dalam hati

kayuh laju-laju

kayuh laju-laju
sampai hujung tanjung
apa dalam baju
buku cinta agung

kayuh laju-laju
sampai hilang lelah
apa dalam baju
tulis-tulis indah

kayuh laju-laju
sampai hutan tebal
apa dalam baju
tiada yang tinggal

terlalu rindu

sujudku terkenangmu
hiba di hati siapa yang tahu
sayuku terpandang-pandangmu
sedih di hati siapa yang tahu

akur, aku tak mahu tersungkur
kiriman untukmu beratur, bertabur
terima, aku tak mahu terlupa
hantaran untukmu bersadur, tiada tebal terukur

hida dan sedih di hati
siapa yang tahu
rindu, terlalu

kehadapan kasih

kasih
aku lahirkan tulisan manis
buat kenangan kita
moga kau suka

bertemunya kita tanpa rencana
sama duka sesudah kecewa
hati di dalam gelora sentiasa
akal dan minda selalu menggila

setiap kiriku kau percaya
sejujur kananmu aku tergoda
laut kasih kita terlalu damainya
sepertinya karang kukuh teguhnya

kau jeling padaku
terbuka malumu
ku panahkan matamu
sedunia ributmu

kasih
kalau kini masih kau mahukan aku
aku ada di dalammu
usah lepaskanku

Monday, April 2, 2012

merenung langit, menghitung bintang

merenung langit, menghitung bintang
kelam, tenggelam
kata hanya pada bibir
dusta dan domba terukir

merenung langit, menghitung bintang
suram, berbalam
suci hanya pada hati
timbang dan selera yang adili

merenung langit, menghitung bintang
muram, karam
manis hanya pada laku
sipu dan malu memandu

merenung langit, menghitung bintang
terang, cemerlang
cinta hanya pada satu
tiada lain mendahuluimu

merenung langit, menghitung bintang
tenang, tenteram

pinjamkan hati

pinjamkan hatimu
mahu aku selam
sampai karam

sukar kutafsir warnamu
mahu aku selidiki
ku pohon, pinjamkan hati

seri wajah dan corak jiwa
mana ketemu titik serupa
hati sehitam arang
kesumat berbelang

pinjamkan hati
mahuku dalami

manusia

kita sama manusia
hanya kefahaman berbeza
penilaian juga

indah padaku hambar
akrab padamu tawar
cabang lidah cuba sembunyi
tipu diri, kanan dan kiri

ada yang mengetahui
sila peduli

Sunday, April 1, 2012

celahan

maafi saya
mohon cerahkan kekaburan
lerai kekusutan

saya tidak nampak bagaimana
rasionalnya

izin panduan
tolong perjelaskan
itu sahaja

gundik raja


gelang kaki melingkar
gemerincingnya memecah sayu malam
derap debar
berkerincingnya melangkah bersahut salam

ampun tuanku
patik hinakan diri
menjunjung duli
dalam tuli

air harum calit pada cuping
terbangkit rasa sebalik dada
asap lindung si ikal mayang
hitam pekat berhujung gelora
bujur sirih bibir berkuntum senyum
sejauh pandang sudah tertawan
masyghul di hati tiada yang tahu

aku ini gundik raja
tuliskan di dinding kenanganmu
dan jangan padamkan



ayam madu tosai

vadai manis
ayam madu tosai
Maggi mee, please!

si manisku

lagumu di hatiku
merdu

capangku beralun dendanganmu
mendayu

duka dan luka
adamu si manisku
menghibur hibaku

gugur semangat
adamu si manisku
membina percayaku

santunmu kukepingin miliki
jayamu kumahu seiring kaki

terima kasih si manisku
gembiramu adalah kebahagiaanku

Saturday, March 31, 2012

kawan dan lawan

kawan
bila jauh menggunung harap
bila dekat jadi lengkap

lawan
jauh terasa rindu
dekat mengatasi benci

kawan jadi lawan
harga diri
hidung tinggi

lawan jadi kawan
berjaga-jaga
mulia

percaya dan yakin
usah berpaling

aku masih di sini
setia

senggang

senggang ada kalanya girang
dalam hilai teman, tawa taulan
cerah sentiasa
sempurna

senggang ada ketikanya walang
dalam sunyi taman, senyap laman
suram dan kelam
tenggelam

bila senggang ingati tuhan
alunkan suci
lengkapkan hati

mati itu pasti
senggang perlu padu isi
tersenyum pulang nanti
makmur disemadi

Friday, March 30, 2012

selesa

selesa
adalah pilihan
bukan kemestian

kita pilih untuk selesa
biar mudah, bahagia

kita pilih untuk selesa
agar gembira, sentosa

namun bila selesa tiada
hilang punca
umpama garis halus tak bercahaya

tak selesa
tak mengapa
terbiasa

merah cuka

kalau aku ini gelandangan
apakah takdirku salah
atau aku lemah
tak mahu mencuba

kalau aku ini sampah
apakah jadiku silap
atau aku sesat
dalam bekas berulat

aku mohon pimpin
kenali akar budi
jangan hanya tahu adili

maaf bukan semudah lupa
insaf jua tak sesedap dosa
darah kita sama merahnya
hanya manismu mencuka

pada satu hujan pagi

bekunya sampai ke guguk temulang kering
menjangkaui kesejukan biasa
goncang-goncang kecil
pada satu hujan pagi

membongkar selimut kasih
teguk air lajunya melampaui sedia
gosok-gosok laju
pada satu hujan pagi

berdentum, bersabung
terpercik cahaya di langit agung
usap-usap biasa
pada satu hujan pagi

lebat, angin pun membadai kuat
sarung terkuak lalu terbongkar sipu paha gebu
langkah-langkah yakin
pada satu hujan pagi

alunan mendamaikan
insaf, terasa kerdil dinanya diri
jabat-jabat kemas
pada satu hujan pagi

berhenti
sepatu kembang, kebasahan
kulit memutih gading
sejuk, ibarat mahu ketat tubuh dipeluk
pada satu hujan pagi

basah sana sini
mendung masih setia



Thursday, March 29, 2012

gementar

gementar
goyang dalam dan luar
ayunan tanpa kawal

gementar
sedar, namun ketar
hayunan tanpa arah pacu
main pandu

gementar
ada batu besar
perlu dilanggar

keterbengkalaian

apalah subur tanah pada ladang
yang terbiar
kering, tak berbenih batasnya
baja pun tak tertaburkan
masakan anak mahu bertunas

apalah gemerlapannya istana
yang terbiar
hanya rangka, tak berlekat batanya
pasir pun tak terbancuhkan
masakan dinding mahu berlimas

keterbengkalaian
danau emas pun tiada maknanya
laut lepas jua tak berdayungkan
harum debunga tiada terpetik
lalu sendiri menyembah bumi

jangan biarkan terus
dalam keterbengkalaian
luahkanlah perasaan
mainkanlah gerak dan peranan
sudahkan kisah pelayaran

Wednesday, March 28, 2012

dunia ini pinjam-pinjaman

dunia ini pinjam-pinjaman
tiada apa pun yang akan kekal

bicara juta-juta
emas permata
cinta pertama (dan gigitannya)
manis asmara
semuanyalah

kita ini peminjam
sampai waktunya perlu pulang
sama ada dengan kemenangan
atau sebagai calon kecundang
dunia inilah luasnya ruang dan besarnya peluang
menjaga kiri, mengisi kanan

dunia ini pinjam-pinjaman
tiada apa pun yang akan kekal
semuanyalah

tanpa kata

hari ini tanpa kata
beras yang tersuap terasa mentah
air yang terjerang gelegaknya melecurkan tekak dan lidah

tanpa kata-kata
hari ini kelunya mendiam rapat
tiada terluahkan, berat

kata-kata entah ke mana perginya
tak berbahasa, isyarat pun sama lena

hadapkan cermin dunia
yang memantulkan lakon cerita
tanpa kata, terasa ke pangkal hunusannya
tak terkata




kita tidak membenci perokok

kita tidak membenci perokok
tetapi hanyalah bau busuk dan memualkan asap tembakau yang dibakar

kita tidak membenci perokok
tetapi hanyalah ketidaksegaran nafas yang dilepas

kita tidak membenci perokok
tetapi hanyalah gema batuk-batuk yang seringkali mengejutkan kita dari tidur lena

kita tidak membenci perokok
tetapi hanyalah lekatan asap tembakau yang dibakarnya pada baju, seluar dan rambut kita

kita tidak membenci perokok
tetapi hanyalah ketidaktamadunan mereka menguruskan sisa-sisa

kita tidak membenci mereka
tetapi bila mereka berkata
ajal bukan di tangan rokok yang dinyalakan tangannya
bagaimanakah harus kita mencernanya dengan waras minda

kita tidak membenci perokok
tetapi hanyalah sikap tidak ambil pedulinya
terhadap orang yang tidak merokok seperti kita

kita tidak membenci rokok
tetapi hanyalah alasan-alasan serta gebang temberang si penghisapnya


Tuesday, March 27, 2012

sepertinya kenangan tidak mahu

sepertinya kenangan tidak mahu menjarakkan kita
walau daya berkali digalaskan, tewas jua
babak-babak lalu ulang siarnya bermain di layar akal
rasa yang mendalam mengatasi minda kita yang dangkal
dan nafsu yang nakal

sepertinya kenangan tidak mahu melupai kita
biar daya berjuta dibebankan, kalah jua
gerak-gerak noda panas hawanya masih berbekas di kulit tubuh
gelora yang menikam melangkaui iman kita yang kusam
dan jiwa yang legam

campakkan saja kehormatan itu
agar mudah kita lalui saat bersama tiap waktu
peluh yang menitis hanyalah lemah saksi
dalam kuat tawa tempiknya sisi kiri
kedunya kanan menelan liur dan telinganya tuli

sepertinya kenangan tidak mahu memaafkan kita
jauh sayup dilontarkan tetap kembali di ingatan
tangan yang menolak tetapi hati berkehendak
bagai bahadur yang juangnya jujur
namun rebah dan gugur, tersungkur

sepertinya kenangan tidak mahu menilai kita
masa lalu sepuhnya adalah petunjuk penting
biar tercorak masa kini tanpa harapan asing
nilai kita adalah pengalaman
bertambah pengajaran buat pelajaran, jadi tauladan dan sempadan
kalau kini kita pimpin kanan kiri
sendirinya tertulis adil tak perlu hakimi

sepertinya kenangan tidak mahu melemahkan kita
buruk baiknya tersemat di dada
semaksudnya duri menusuk tanpa luka


Monday, March 26, 2012

ini telaga kita

ini telaga kita
di lubuknya nikmat berganda lipatnya
bersama kata-kata suci
mengagungkan diri

ini telaga kita
di susuknya rahmat bersiram hikmatnya
bersama mata-mata hati
melaungkan yakin dan puji

telaga kita
saljunya mekarkan bunga
sedunia isinya hidup
menjelang mati berkafan litup

telaga kita
tiada kering meski terik panas
dan kemarau menghempas

ini telaga kita
kongsi bersama
mekarlah bunga darinya
hiduplah seisi dunia dan litupnya

setiapmu

sipu yang tebal
tunduk wajahmu ada
nafas yang tersedut hembus

degup beralir arus
kelip seberdetiknya kerling
jeling dan paling

senyap meski bukan rajuk
panas, sejuk
dan pujuk
bagainyamu rembulan tinggi di langit berselimut awan
begitunyaku pungguk merenungmu tak terkeluhkan

ada setiapmu di dalamnya
tiada kita terpisah

Sunday, March 25, 2012

susuk yang ada dalam jeda

bila tiada
terasa emasnya

bila lepas
oleslah panasnya

bila tamat
sebermula dunia denyutnya

mayapada hanya kerdip mata
laut luas bagai terlihat sempadannya




Thursday, February 9, 2012

keadaan

it has been a while.

lama sudah tidak berkata-kata di sini. ada, tidak ke mana2 pun. dalam mendepani hal2 seharian, ada urusan2 yg perlu dibulatkan perhatian, bukan?

panggilan2 telefon, pesanan2 ringkas.. maaf kerana tidak melayan semuanya. ya, bukan yg kamu panggil/hantar saja, yg orang lain juga. namun betapa bersyukurnya rasa di hati kerana ada yg masih mengambil berat akan keadaan diri ini. terima kasih atas keprihatinan kalian.

usah risau, saya okay.