Saturday, May 19, 2012

laungan

tiupan angin berhenti
langit jua jadi hening
liuk pepohon rendang habis
tompok gemawan berlabuh sepi
laungan dihormati

dipanggilnya sama sujud sembah
diserunya sama menuju jaya
seisi laman yang leka jadi cakna
mengagungkan Yang Satu

laungan berseru di singgahsana
memanggil yang mulia dalam hina
tetaplah azam selalu terbeduk gema bunyi
agar senantiasa rapatkan janji
dan ketatkan ikrar hati

air yang beralir jatuh
dosa pun gugur




Friday, May 18, 2012

tahi peranti

kita kini tahi peranti
jemari tak lepas
ketuk-ketuk papan kekunci
mata hanya tumpu pada layar
sedang di sebelah punya teman

kita kini tahi peranti
senyum sendiri
abaikan dimensi

hanya tahu penting diri
tak peduli keliling


Thursday, May 17, 2012

suku tahun

genap suku tahun
sedih masih mengunci pagar hati
pedih tanggung sendiri

pergi dan tiada kembali
tak akan ada ganti
sedih masih di hati
menangis sendiri

lenalah tidurmu
tunggulah aku datang

Wednesday, May 16, 2012

budak putih

satu budak putih
makan buah ciku
getah lekat baju

satu budak putih
suka cukur misai
sebab nampak masai

satu budak putih
dekat tengah laut
tak rasa takut

satu budak putih
ada lupa janji
pura-pura suci

satu budak putih
lompat masuk semak
lekat duri banyak

satu budak putih
suka cakap tipu
sana sini situ

satu budak putih
sayang sama saya
saja tak percaya

Tuesday, May 15, 2012

mohor

tanda-tanda yang
kau tinggalkan di atasku
jadi bukti aku ini milikmu
abadi

janji-janji yang
kau materai denganku
itulah dalil aku ini kepunyaanmu
selama-lamanya

cinta yang kau kucup bersama rangkulmu
asmara yang kau celup dengan berahimu
jadi akuan kita terikat
sampai bila-bila

keterangan itulah
kamu mohorkan
pada kulit imanku

Monday, May 14, 2012

laut

terpaan garis laut
membuai ikal mayangku
sepi dan kering sama datang
dengan tenang biru dalam

ombak-ombak kecil
menggigit dada pantai
membekaskan basah yang lalu kering
terangkat dalam jisim udara asing

laut
aku bulat hati di gigimu
menanti sauh dicampakkan ke dasarmu
aku bertahan pada kerikil tajam-tajam
memandang lubukmu sampai terpacak layar di pusarnya

bawa pulang kedamaianku
hendaknya tidak kau rampas lagi

Sunday, May 13, 2012

layahkan setia kepadaku

yang di atas
layahkanlah setia kepadaku
jangan lagi mahkotakan curiga
luka-lukanya maha parah

yang di atas
layahkan setia di kepalaku
mahu aku terus bersama
dengannya mencipta cerita

layahkan setia kepadaku
sisipkan bahagia sedikit untukku

Saturday, May 12, 2012

memintas waktu

lesu aku dalam perlawanan
memintas waktu
rasa tak terkejarkan batang kaki
mahu memeluk dayaku tangan tiada sampai

teja langkah manakah hilang
terpesong hala terpadam haluan
dalam terang pun tak ternampak cerah
siang bagai pekat malam hitam
berkejar saja sudah terjatuh
apalah terbang sayap pun patah

waktu punya cemburu
kisah lalu pun memburu
lelapkan mata biar terawangan
celikkan akal putihkan hati

dangkal bertambah arasnya
waktu semakin gebu dengan ketidaksudian

Friday, May 11, 2012

kakiku kekok

kakiku kekok
jalan lurus ke rumah tuhan
sering aku mahu belok
benar di hati tapi di mulut rasa olok

yang ada di minda capaikan ilmu
yang tinggal di jiwa nyatakan keliru
canggung di langkah sorokkan debar
resahkan angan biar tersedar

kakiku kekok
jalan berbelok tapi di mataku
serbi semuanya molek elok
siurnya berpilin, berkelok

yang di hati, tepati
yang di langit, ingati

Thursday, May 10, 2012

kelukaan

aku kebas di hati
rasa lumpuh hujung-hujung jemari
terhiris dada mengaduhku perlahan
separa sedar dalam kelukaan

renjiskan air bersihkan darah
sapukan penawar biar lekas kebah
petingkan kapas baluti luka
sembuhlah, sempurnalah seperti sedia ada

pedih aku dalam kelukaan
separa sedar mengaduhku perlahan
tolong balutkan, biar jadi seelok permulaan

Wednesday, May 9, 2012

hempas

hempaskan setiap kemarahan
di atas sejadah kesabaran

hempaskan segala sangkaan
pada soalan penuh kebijaksanaan

hempaskan seluruh kesedihan
lepaskan, usah lagi ditahan

Tuesday, May 8, 2012

dari kejauhan

aku mendengar dari kejauhan
ceritamu aku tertawa sendirian
mengenang waktu indah pertemuan

aku melihat dari kejauhan
jaya cerlangmu aku tersenyum bersimpulan
membunga bangga di hujung perasaan

aku membaca dari kejauhan
titip katamu aku terharu berhibaan
ada juga di hatimu setitik kemuliaan

Monday, May 7, 2012

selepas enam

selepas enam pagi
bakar sekeping roti
bikin semangkuk kopi

lahap dengan sopan
biar terkoyak sepadan
nanti senang hadamkan

kuak daun tingkap
sedut udara sedap
hembus segala asap

pandang ke atas
senyum tanda puas
syukur pun meluas

hari selepas enam
jiwa kekal tenteram
hati bersih dendam

Sunday, May 6, 2012

padang ragut

dari jauh terlihat hijau
sebatu zamrud ronanya
angin yang mengukir garis
meliukkan segar rumpun dan rimbunnya

padang ragut yang menghijau
bersama kita menikmati indahnya
rezeki yang berlimpah limas
sama kita syukurinya

ini padang ragut kita
tempat kita menghimpun segala
amal dan nista bagai serasa
kita yang menanggung semua

padang ragut kita
hijaunya menebalkan akur setia
serta mengampuhkan percaya

Saturday, May 5, 2012

sembunyikan rahsia

langkah kaki yang memijak
jejaknya bagai tak menyentuh bumi
tundukkan kepala tanda rendah hati
bagainya resmi padi
ukirkan senyum meski terpaksa
anggukkan saja walau pendapat tak senada

semuanya untuk sembunyikan rahsia
biar tampak abid di siang cerah
meski sebaliknya bila malam berubah

semuanya untuk sembunyikan rahsia
di hadapan elok santun sipunya
di belakang terlalu mungkar laku dayanya

sembunyikan rahsia
biar khalayak mengangkat ke setingginya
biar kenalan memuji ke langitnya

yang di atas sentiasa memerhati
kanan dan kiri tak terlepas menghitung lagak aksi

Friday, May 4, 2012

sehelai

sehelai baju yang basah
bila disidai di bawah panas hari
pasti akan kering jua
meski warnanya akan pudar
tetap khidmatnya ditagih ke akhirnya

sehelai kertas putih yang kosong
bila dilarikan mata pena di atasnya
pasti akan tercoret jua
kalau madah manis
atau ilmu tingkat tinggi
tetap terciptanya untuk memberi

sehelai rambut yang terdedah
bila dilihat ajnabi
pasti akan tercatit jua di kiri
dan di sana nanti
ganjarannya menanti

sehelai kain yang kosong
kitalah pemakainya
kerana itulah takdir kita

Thursday, May 3, 2012

Hawa

ada kau di kiri
lengkapkan aku

ada kau di belakang
sama memohon denganku

ada kau di hati
indahkan hidupku

jadi kekuatanku, semangatku
setiap lafazmu jadi nafasku
tiap kerdipku terjelma namamu

Wednesday, May 2, 2012

Sura Hujung

Sura Hujung yang kurindu
aku datang melihatmu

pasir pantaimu yang memutih
hempas ombakmu yang menggerunkan
anginmu yang membadai lantang
lambaian pohonmu masih mendamaikan

akulah yang berjalan di gigi air
melepaskan pandangan ke laut luas
kaki yang basah terasa suci
bagai anak kecil yang baru lahir

akulah yang berlari di gigi air
menghempaskan tenaga ke pasir berjuta butir
Sura Hujung yang sekian lamanya kutinggalkan
nyamannya masih sama, ciumannya masih mendebarkan

aku mahu kekal di sini
bagai abadinya kenangan di hati

Tuesday, May 1, 2012

kerja

terbitnya fajar di langit timur
bawa cahaya penuh menyubur
seisi dunia bersiram nikmat
bangkit bekerja perah keringat

lajukan langkah menuju masa
arahkan hati
bulatkan jati diri

kerja ini tiada sudahnya
lagi dicangkul bagai tak tergali pamahnya
tiada tercebak akan teresnya
harus terpupuk di banir akarnya

cabutkan rumpainya
gemburkan tapaknya
siramkan air segayung dua
biar basah ke umbi puncanya

kerja bagai mahu mati
dan takkan bangkit lagi

Monday, April 30, 2012

April

setiap kali April tiba
aku tersenyum lalu tertawa
kerana kenangan kita bersama
di sinilah berlaku waktunya

kau peluk tubuhmu
aku rangkul pinggulmu
April indah sentiasanya buat kita
bunga-bunganya mekar bagai kembang selamanya

kau pacuku laju
aku bimbingmu menuju kemuncak satu
April menawan selamanya buat kita
kuntum-kuntumnya segar bagai berbaja ke akhirnya

April tetap manis buat kita
meski kita bukan lagi bersama

sama kita tersenyum dan tertawa
di sinilah waktu berlakunya
kita kenang bersama

Sunday, April 29, 2012

selamat tinggal Persiaran Permai

selamat tinggal Persiaran Permai
aku pergi bersama luka
serta duka bersarang saratnya
pada jiwa dan di kantung lara

selamat tinggal Persiaran Permai
aku pergi bersama setia
serta suka berkarang larat
pada hati dan di gantung peribadi

terima kasih untuk semuanya
tawa yang kau bungakan
hiba yang kau percikkan
akan aku rindui sesak jalananmu
serta bau basah selepas lebat hujanmu

selamat tinggal Persiaran Permai
nanti aku datang lagi
bila kau mahuku kembali

Saturday, April 28, 2012

rindu Jannah iv

aku terasakan salju anginmu
menampar pipi di Subuh syafii
sejuknya meresap ke urat nadi
terbitlah syukur dalam hati

aku terdengarkan arus sungai-sungaimu
melanggar bebatu di muara kesaktianmu
bunyinya menghilangkan resah fikiran
padamkan gusar dalam menungan

aku ternampakkan dayang-dayangmu
terbang bebas di langit indahmu
senyum mereka meruntuhkan sabar
serta melenyapkan iman yang sejak dulu tebal

rindunya aku mahu kita bertemu
merasai tiap kurnia di dalammu

teruslah seru namaku
biar kelak jadi tetamumu
biar seisi dunia kenaliku sebagai pendampingmu
dan akhirnya nanti menjadi pendamaimu

Friday, April 27, 2012

lari

api di hati bernyala
tiada terpadam jamung maraknya
cita masih terkalung di jinjang tubuh
tiada keluh atau rusuh

aku yang menghilangkan diri
lari dari impian sendiri
ghaib dalam terang ramai
diam dalam riuh permai
lari dan terus berlari
dari kenyataan

setiap pimpinanmu tak aku lupa
namun ikhlasmu buat aku tertanya
tajam lidahmu kerap menghiris perasaan
singgung aku terjeruk di sudut gelap hidup

biarlah aku lari
sampai masa akan berhenti
lelah tiada dalam daftar hidupku
dan aku tahu aku bukan dalam senarai kesukaanmu

biarkan aku terus berlari
meski luka parah di kaki dan di hati

Thursday, April 26, 2012

jarak

kita terpisah di garisan ini
haluan jua tiada tahui
maju atau mundur
kaki dan hati

jarak ini memisah kita
jalurnya meragu setia
menduga percaya

jarak ini menjauhi kita
lebarnya sayup ekor mata
bertitik buta penuh berjuta

jarak inilah yang menikam
nyawa cinta dan ikrar kita

jendelanya aku
tirainya kamu

Wednesday, April 25, 2012

sangkaan

sucikan hati
perbaiki kelemahan diri
perkuatkan kelebihan
cerahkan pandangan

usah buruk sangka
jangan pernah sengketa
jika engkau mulia
semuanya jelas tanpa perlu lakon daya

putihkan kata
cantikkan bicara
pasti seiring ilmu di dada

Tuesday, April 24, 2012

bandarayaku

dari Anggerik ke Inai Merah
terik panas sedia diredah
hujan salju membadai jiwa
tiada undur malah terus pacu ke langit jaya

dari Anggerik ke Inai Merah
kenangan luka kekal berdarah
kisahan manis mekar di hati
tumbuh yang patah, hilang menanti ganti

dari Anggerik ke Inai Merah
panji-panji terkibar megah
majunya bandarayaku degup nadinya terus berdetak
siur simpang rangkai jalannya masih tenang dalam padat sesak

dari Anggerik ke Inai Merah
yang tinggal jadi sejarah
yang datang berkemilauan cerah

Monday, April 23, 2012

sekaki payung

aku ini sekaki payung
rangka besi tetapi rapuh
panas dan basah aku terbuka
redup dan kering tergantung sahaja

aku ini sekaki payung
warna hitam bertulis putih
hangat dan lembab sentiasa bersih
bila tertinggal tuan merintih

aku ini sekaki payung
bila terbuka kembang melengkung
setia aku terus melindung

hujan mencurah
mentari cerah
semua itu teman baikku
selagi usia memuja badan