Tuesday, July 31, 2012

cahaya

terlihat aku akan cahaya
sinarnya bisa silaukan mata
pandukan aku ke arah betul
dari tenggelam menuju timbul

cahaya terang cerahkan hidup
bawa isyarat berjuta maksud

berkemilauan
capai tanganku dan pimpin ke puncanya

Monday, July 30, 2012

iman

di hati kita senipis bawang
di mata orang setebal kamus
di hati kita serapuh dahan mati
di fikir orang seampuh keluli

kita hidup membina iman
belum separuh sudah runtuh
kalaupun bisa diwarisi
masih tak mampu memberi erti

iman di dada
tiada yang tahu
hanya Dia

Sunday, July 29, 2012

aku berjalan di taman kecil

aku berjalan di taman kecil
pokok-pokok kering menghiasi
layu tak berair
rumpai melata

aku berjalan di taman kecil
pasu-pasu pecah memenuhi
retak dan belah sama banyaknya
tanahnya tak bergembur, tak berbaja

rumpai liar kucabut satu demi satu
pasu pecah kuganti baru
gemburkan tanah guyurkan air
moga taman kecil kembali berseri
dan bunga kembang yang wangi memenuhi

di sinilah aku belajar
memandang tangan-tangan mulia bekerja
mengasihi makhluk menyayangi alam
berbudi ke tanah labanya melimpah

aku berjalan di taman kecil
bunga berkuntum
daun hijau malar
buah meranum
ranting dan dahan sihat dan berzikir
tanah subur rumput melandai laman kerikil merah

segarlah
bugarlah
mahu aku lewatimu lagi

Saturday, July 28, 2012

bila mana kita kembali jadi asing

sewaktu dahulu kita asing
tidak ambil pusing
lihat dari jauh
tanpa peluh

kita berkenalan
jadi akrab
susah aku kau pun rasa
senang aku kau ada sentiasa
hari kosong bagai terisi penuh

kini diam
senyap bagai pilu menampar hidup
detik kenangan selalu menjelma
memberi tanda bahawa kita bahagia bersama

bila mana kita kembali menjadi asing
rasa hanya terpendam di hati

inilah penyudah sementaranya


Friday, July 27, 2012

hidup bukan seindah impi

aku mahu sempurna
dari celik mata
ke penutupnya

bahagia dalam hidup
cemerlang di sekolahan
dihargai, dikasihi

namun
hidup bukan seindah impi
dikhianati, dibelakangi
dibenci

tumbuk dan tendang
sepak terajang
sakit, lebam dan luka
mainan seharian

namun
syukur masih di hati
dirahmati, diberkati
dilindungi
sudah cukup untuk menikmati
hidup sebelum tibanya mati

Thursday, July 26, 2012

gambar

petik peranti rakamkan detik
manis, pahit, jaya dan gembira
gambar yang pegun beribu maknanya
cerita sebaliknya menyentuh hati kita

gambar
menjadi kenangan
ditatap bila rindu
disimpan kerana sayang

satu dua tiga
sebut keju sentiasa
klik!

Wednesday, July 25, 2012

guna otak untuk berfikir

sebelum bercakap
gunalah otak untuk berfikir
sebelum bertindak
gunalah otak untuk berfikir
sebelum menghukum
gunalah otak untuk berfikir

kalau begitulah nilai sijilmu
tak pernah aku kagumi pun

Tuesday, July 24, 2012

yang akhir

bila jadi yang akhir
tidak semudah sangka
perlu cerna banyak perkara
suara perintah datang dari pelbagai arah

menjadi yang akhir
sukar, terlalu sukar
ditelan payah, diluah pun payah
dibiar bersalah, dilayan kalah

kita kalau yang akhir
barulah mengerti
tekanan yang hadir dari setiap sisi


Monday, July 23, 2012

perasaan

perasaan itu amat seni
dari hati pancar ke wajah
dan laku anggota atas bawah

perasaan itu sukar diterjemah
tiada terluah dengan perkataan
tiada terkata dengan percakapan

perasaan itu ada masanya
perlu disimpan, dipendam
kerana itulah sebaiknya

jika dan hanya jika
kamu dapat mengerti semua
terima kasih kerana memahami
atau mencuba untuk mendalami

Sunday, July 22, 2012

penolak

hidup ada banyak penolak
rebah dan bangun sama banyak
yang mahu kita berjaya teruskan cita
yang ingin kita tersungkur tamatkan cerita

penolak
tak kira kita berduit
atau dalam sedih
mereka ada di sisi

memberi semangat dan menambah tekanan
serta bebanan yang berpanjangan

terima kasih penolak
atas usaha dan percayamu
jumpa di sana





Saturday, July 21, 2012

Ramadan

terik yang menggigit kulit
ada semilir sepi mengiringi
aku yang sebatang karah
hanya mampu terpugar segar

kenangan Ramadan lalu menjelma
satu-satu dalam samar warna
hijau, biru, kelabu, jingga

rindu
betapaku mahu
mahu kembali ke masa lalu

ini yang pertama
tanpa tercinta
bertabahlah
hikmah tersisip jua