Sunday, August 31, 2014

merdeka dan aku

Zaman prapersekolahan, erti Merdeka ialah lari keliling rumah pengasuh sambil kibarkan bendera gula-gula dan jerit "Mendeka! Mendeka!". Sekonyong-konyong, kaki tersadung pada akar pokok dan jatuh tergolek dog. Menangis dan meraung sebelum ditenangkan anak pengasuh. Dibebatnya luka di lutut, disapunya minyak gamat pada bilur di dahi dan di telapak tangan. Kemudian, sambung semula lari-lari dengan bendera gula-gula yang sudah patah.

Zaman sekolah rendah, erti Merdeka ialah bangun pagi dan tunggu depan kaca televisyen nak tonton siaran langsung perarakan kemerdekaan. Waktu itulah nak lihat aset-aset polis, tentera, bomba..juga model-model baharu kereta Proton. Juga nak tengok apa yang SPB Raja Permaisuri Agong pakai. Juga nak tengok budak sekolah mana yang baca ikrar. Juga menangis sewaktu lagu Negaraku dimainkan. Tahun 1997 dan 1998 antara yang paling diingati sebab amat terasa kemajuan semakin didakapi negara. Meskipun ketika itu harga getah dunia rendah, namun, hidup di Felda sedikit selesa. Anak-anak dara keliling kampung bekerja di kilang-kilang besar di Seremban. Setiap minit ada saja bas-bas kilang yang lalu di depan rumah. Anak-anak teruna keliling kampung pula tidak lagi melepak di simpang-simpang jalan main gitar kapok nyanyi lagu Isabela sambil hisap rokok dan makan kuaci. Kebanyakan mereka menyertai tentera darat. Malaysia Boleh!

Zaman sekolah menengah, Merdeka ialah pergi ke sana-sini deklamasikan sajak. Ermmm...

Zaman universiti, Merdeka ialah duduk bilik senyap-senyap dan jangan keluar kolej/rumah sebab jalan jem. Tengok kembang api daripada tingkap dan kira berapa das letupan, berapa duit yang dibazirkan...huu.

Sekarang? Masih tonton siaran langsung. Masih duduk rumah senyap-senyap. Masih baca sajak sambil lari-lari dengan bendera gula-gula dalam hati. Masih menangis apabila kata "Merdeka" dilaungkan pembaca ikrar. Masih terdetik di fikiran andai bukan lahir di sini, apakah keselesaan dan keamanan dapat dirasai.. *shed tears*

Selamat menyambut hari kemerdekaan yang ke-57 buat semua rakyat Malaysia. Di mana jua berada, di sinilah lahirnya sebuah cinta. Mendeka! Mendeka!