Friday, March 4, 2016

pada satu ketika dahulu

Pada satu ketika dahulu, kita hanya orang asing. Hal masing2 tidak pernah ambil pusing. Waktu itu, kita hanya lihat2 dari jauh; tanpa perlu peluh akan sesaknya jiwa untuk memikir rumus biar selesai sama2 punya keluh.
Tidak lama selepas itu, kita berkenalan. Meski tiada pernah timbul di hati biar sedikit harap, tanpa disedari langsung lama2 kita jadi lebih dan bertambah akrab. Senang kau, aku pun rasa. Susah aku, kau ada sentiasa. Hari2 yang dahulunya kosong kini bagai sudah terisi melimpah penuh. Kita saling ada menggantung patah dengan anduh, membebat luka sampai sembuh.
Seperti cerah cemerlang langit siang disinggahi awan hitam, hari2 indah kita tiba2 bertukar menjadi suram. Masa yang dilewati hanya diiring bunyi hening dan lengang, bagai menangisi sebuah kematian dengan hiba yang terlalu dalam. Tanpa suara, tanpa kata2. Diam seribu bahasa. Bibir terkatup rapat, lidah mengancing bicara.
Bagai tak diketahui, kita kembali menjadi asing; pesanan tak berbalas, panggilan tak bersahut. Punca yang dicari masih seliratnya membingungkan fikiran, telah cuba kembali ke awal permulaan tapi tiada dijumpai garisannya. Lembaran2 hari berlalu sepi. Perasaan hanya dipendam dalam hati. Jika diluah menjadi balah, jika ditelan menjadi barah. Keliru sungguh menghitungkannya kerana kita pernah erat bagai kulit dan isi terlekat, bagai tanduk dan daging terbalut kuat. Nian.
Andai inilah penyudah sementaranya, cukuplah dikenangi aku di dalam doa2mu. Semoga yang baik2 sahaja buat kita, dan seisi dunia.