Sunday, August 31, 2014

merdeka dan aku

Zaman prapersekolahan, erti Merdeka ialah lari keliling rumah pengasuh sambil kibarkan bendera gula-gula dan jerit "Mendeka! Mendeka!". Sekonyong-konyong, kaki tersadung pada akar pokok dan jatuh tergolek dog. Menangis dan meraung sebelum ditenangkan anak pengasuh. Dibebatnya luka di lutut, disapunya minyak gamat pada bilur di dahi dan di telapak tangan. Kemudian, sambung semula lari-lari dengan bendera gula-gula yang sudah patah.

Zaman sekolah rendah, erti Merdeka ialah bangun pagi dan tunggu depan kaca televisyen nak tonton siaran langsung perarakan kemerdekaan. Waktu itulah nak lihat aset-aset polis, tentera, bomba..juga model-model baharu kereta Proton. Juga nak tengok apa yang SPB Raja Permaisuri Agong pakai. Juga nak tengok budak sekolah mana yang baca ikrar. Juga menangis sewaktu lagu Negaraku dimainkan. Tahun 1997 dan 1998 antara yang paling diingati sebab amat terasa kemajuan semakin didakapi negara. Meskipun ketika itu harga getah dunia rendah, namun, hidup di Felda sedikit selesa. Anak-anak dara keliling kampung bekerja di kilang-kilang besar di Seremban. Setiap minit ada saja bas-bas kilang yang lalu di depan rumah. Anak-anak teruna keliling kampung pula tidak lagi melepak di simpang-simpang jalan main gitar kapok nyanyi lagu Isabela sambil hisap rokok dan makan kuaci. Kebanyakan mereka menyertai tentera darat. Malaysia Boleh!

Zaman sekolah menengah, Merdeka ialah pergi ke sana-sini deklamasikan sajak. Ermmm...

Zaman universiti, Merdeka ialah duduk bilik senyap-senyap dan jangan keluar kolej/rumah sebab jalan jem. Tengok kembang api daripada tingkap dan kira berapa das letupan, berapa duit yang dibazirkan...huu.

Sekarang? Masih tonton siaran langsung. Masih duduk rumah senyap-senyap. Masih baca sajak sambil lari-lari dengan bendera gula-gula dalam hati. Masih menangis apabila kata "Merdeka" dilaungkan pembaca ikrar. Masih terdetik di fikiran andai bukan lahir di sini, apakah keselesaan dan keamanan dapat dirasai.. *shed tears*

Selamat menyambut hari kemerdekaan yang ke-57 buat semua rakyat Malaysia. Di mana jua berada, di sinilah lahirnya sebuah cinta. Mendeka! Mendeka!


Sunday, July 13, 2014

Gaza di mataku

dentum kanan dan kiri
sekolah dan masjid jadi bidikan
si angkuh durjana

ayah kehilangan anak
isteri kehilangan suami
tiada hala, hanya bala menambah hiba

mendahului binatang
membelakangi kesiuman
tiada kemanusiaan, hanya syaitan menjadi raja

aku yang membaca dan mendengar
di dada berita, di layar khabar
pilu kerana tiada kemampuan membantu
hanya doa dipanjat mengiring kesejahteraan

air mata di hujung ekor kanta
remuk jiwa menelah nasib Gaza

Saturday, July 5, 2014

kenangan Ramadan

setiap kali menjelang masuk waktu berbuka puasa, pastinya akan terkenang saat-saat bersama arwah abang dan kakak-kakak membantu arwah emak menyiapkan hidangan. arwah abang akan ke kedai runcit membeli keperluan. kakak-kakak kemudiannya akan menguruskan bahan-bahan sebelum dimasak arwah emak, selain menjerang air dan menanak nasi. aku pula menghampar tikar, menyusun pinggan di tepi bintang berisi gelas/cawan dan jag-jag air serta mangkuk setangan. dulang kosong akan diletakkan di tengah-tengah tikar sebelum piring-piring berisi lauk-lauk pilihan hari tersebut dihidangkan.

ketika itu, air jando pulang dan kuih kelepung sudah dikira istimewa. arwah emak pasti akan menyediakan tauhu sumbat sebagai pembuka selera buat kami sekeluarga. apabila sudah masuk waktu berbuka, ayah akan memimpin bacaan doa. semestinya kurma didahulukan, air sejuk diutamakan.

kini, semua itu menjadi kenangan. kakak-kakak sudah berhijrah mengikut pasangan masing-masing. ayah pula sudah menemukan juadah berbuka yang baharu. aku membawa diri ke ibu kota konon-konon mahu mencari diri dan membina hidup sendiri.

semoga arwah abang dan arwah emak terus berbahagia dan bersenang-lenang di taman mereka. air jando pulang, kuih kelepung dan tauhu sumbat akan terus subur dalam ingatan.

selamat berbuka!

Saturday, June 28, 2014

Kareem ii

telah tiba fajar baharu
bulan penuh keberkatan
biar dipenuh dengan ikhlas
dari tulus hati yang bersih

mahu dicari manisnya bulan
membentuk iman, menyubur amalan
mahu diisi sebanyak ibadah
meningkat percaya, menambah rahmah

bersiramlah kasih-Mu di halaman dadaku
kembang mewangi bebunga patuhku
teruslah memilihku mendampingi-Mu
ke akhir usia mengagungkan-Mu

Sunday, May 4, 2014

peperangan bintang

pedang dan burung besi
di atas cakerawala tiada penghujung
perang dan kekacauan
di atas bintang idam semua makhluk

hunuskan senjatamu ke udara
depani musuh dengan hati waja
kelak menang wilayah terbela
andai kalah bangsa merana

dalam licik gerak dan langkah
ada musuh bertopeng di wajah
tidak tahu siapa yang benar
tidak peduli siapa yang salah

dari bintang ke bintang
perang masih berjalan
atas nama keamanan
entah bila akan berakhir

moga terbayar segala pengorbanan!

Sunday, April 27, 2014

pasar buku

dari bahu jalan
ditinggalkan
nota beberapa keping
tiada nilai

langkah kaki hati-hati
manusia kanan dan kiri
ruang selesa jadi sempit

mahu cari yang dihajati
mahu beli yang diimpi

bersalaman, bertanda tangan
urusan bertukar perkenalan
yang lebar bertambah ramping
yang muat semakin sendat

bila dapat yang dihajati
hampa cerita mengatasi kebenaran

pasar buku jadi ketaksuban
pemburu kata yang sekerdil hama di mata-Nya

Sunday, April 20, 2014

bukan yang penting lagi

bukan engkau penting lagi dalam hidupnya
pesanan tak berbalas
panggilan tak bersahut
agenda lengkap tanpa ada engkau
dalam lingkungan

bukan engkau penting lagi dalam hatinya
ingatan terpadam
sejarah terlupa
kenangan perlina
cerita tamat tanpa ada engkau
dalam layarnya

bukan engkau penting lagi dalam
semua lembaran harinya
engkau sudah mati padanya
dalam keserakahan dia mengejar
cinta dunia

Sunday, April 13, 2014

kisah ringkas persahabatan kita

bertemu kembali kita
pugar kenangan lama
cerita rancangan semasa

kita ketawa dalam pemanduan
sesat mencari pengakhiran
berhenti di persimpangan
bertanyakan jawapan, mencari kepastian

panas dan hujan menjadi latar
suara kita yang tinggi dan mendatar
gurauan dan usikan
jadi pengikat perkenalan

moga kita terus melengkapi
biar apa pun gelaran diri

Sunday, April 6, 2014

kayuh laju-laju iv

kayuh laju-laju
sampai puncak gunung
apa dalam baju
gulai lemak baung

kayuh laju-laju
biar habis letih
apa dalam baju
kobis lemak putih

kayuh laju-laju
hendak kejar masa
apa dalam baju
pundak lebar sasa

kayuh laju-laju
jangan pernah henti
apa dalam baju
angan ubah hati

kayuh laju-laju
cari jalan pulang
apa dalam baju
jari tanpa tulang

Tuesday, April 1, 2014

19

pandang dari jauh
cahayamu masih terang
ke sudut terkecil hatiku
kau terobos

lagukan hari mundurku
dengan irama bundarmu
alunkan rentak pelbagai

hiburkan semua
sendiri atau ramai
dipuja, di atas takhta

moga berjaya ke akhirnya
hiburkan seisi dunia

Monday, March 31, 2014

langit-Nya

layarkan kasihmu kepadaku
kemudi cinta ini bersamaku
ke Firdaus, ke Na'iim
kekal kita melengkapi

meski sengketa menindan perhubungan
kita kendali penuh hemah
meski sentosa membunga hari
beringatlah kita dalam ketaksuban

pegang tanganku erat dan tertawalah
inilah lingkup nikmat kita
di bawah langit-Nya

Thursday, March 27, 2014

orang ketiga

jumpa dalam gelap
tempat sunyi dari bunyi
tiada mata memerhati
meski tahu ada yang meneliti

bangga dan mahu dibanggakan
atas nama seorang penyelamat, penaik semangat
atau pengingat langkah atas litar mana kaki melangkah

raikanlah ke puncak
yang tiada tingginya dapat didaki
orang yang tidak ketahui
cinta dan asmara kita

jadilah pemula dan pengakhiran
setiap inci kulitku, milikmu


Saturday, March 22, 2014

rezeki dan kemanusiaan

rezeki yang disiram Mikail
membanjiri tanah-Nya
sedikit atau banyak bahagian kita
hanya syukur membunga di hati

apalah yang tinggal pada tangan yang memberi
doa tanpa putus daripada penerima
jadi penyelamat waktu tanah memamah daging
apalah yang kurang pada tangan yang memberi
dengan ikhlas dan kasih sesama manusia
segeluk dicedok setelaga menanti

kitalah yang mahu diperakui manusia
tanpa sedar memadamkan kemanusiaan

Sunday, March 16, 2014

370

hilang tanpa cerapan
gusar menemukan jawapan
malang yang tiada terhidu
hanya Dia yang tahu

hiba dirasa
duka bersambut air mata
hari yang berlalu menambahkan pilu
persoalan berganti andaian datang bertalu

temu di selatan, ke selatanlah kita
tampak di selat, ke selatlah kita
menjangkaui sempadan, sama debar menanti
melebihi garisan, terus sama sabar mencari

apa yang timbul dalam makrifat
hanya kabur menunjuk sifat
kerah ikhtiar ke semua sudut
doa dan tawakal kekal berpaut

kepada tuhan terus berserah
moga terungkai jawab musibah



Tuesday, February 25, 2014

28

aku menanggalkan kelongsong usia
di luar pintu kenangan setahun lalu
lantas bersimpuh di dada-Nya
menghitung leka dan cela
menelah indah dan rahsia
tahun mendatang

tidak aku tuntut bungkusan mewah
tidak aku harap sambutan meriah
cukup dikenangi aku di dalam setiap doamu
dan dihargaiku dalam senang susahmu

semoga yang baik-baik sahaja buat aku
dan seisi dunia

Saturday, February 8, 2014

di sini hatiku

labuh belakangku di atas empuk ikhlasmu
cerita jaya bertukar di mata
nuansa indah bergema girangkan semua
runtun jiwa, insafi tiap ihsan-Nya

di sini hatiku
mahu selalu ada
jadi saksi bangun dan rebah
jadi pemerhati pegun dan gagah

kenangan yang terimbau
mengingatkan hidup lepas penuh kisah
redam dan jadam menghentam
madu jua racun berlikat dalam buyung usia
digumam perit sebelum ditelan dengan keakuran

di sini hatiku
mahu sama ke syurga
saling kenali usaha
merai ganjar-Nya

Thursday, January 30, 2014

pelajaran

tiba jua kita di detik perpisahan
setahun yang penuh pengajaran
dan pelajaran

terima kasih atas kepercayaan
dan atas setiap makian serta cacian
serta tikaman belakang

mengenalimu, banyak yang aku pelajari
semoga kau terus berjaya!

Thursday, January 2, 2014

bahu yang memikul beban

masalah datang dan pergi
satu demi satu menguji diri
beban ditanggung tiada terasa ringan
malah bertambah berat bila direnungkan

ujian-Nya mahu meneliti
tinggi mana iman di hati
dalam mana percaya
luas mana usaha

berat beban terpikul di bahu
mahu dikongsi tiada yang mendengar
berat hati menanggung
mahu diluah tiada perkataan
terlalu mencabar minda yang lemah
dan jiwa penuh kerapuhan

sujud diisi tangisan ratap
moga jadi penguat
dan pelembut keangkuhan

Wednesday, January 1, 2014

angka baru

percik api mewarna langit kota raya 
penuh tipu-dusta
gempita semua sudut benua

apa ada pada yang baru
bila cerita lama penuh dendam
penuh darah dan pahit di dua tangan
ketamakan serta kerakusan masih digayakan tubuh
manusia terpilih

nilai diri bukan lagi jadi ukur
pandanglah harta
congaklah laba

tiada yang baru
hanya angka menipu insan dalam kesamaran