Saturday, September 15, 2012

Fuad dan Aryana

Fuad dan Aryana
suka sama suka
mahu main cinta

Fuad dan Aryana
usap-usap manja
berdebar di dada

Fuad dan Aryana
ucap manis-manis
rangkul tanpa lapis

Fuad dan Aryana
kadang-kadang nakal
banyak sangat akal

Fuad dan Aryana
hanyut dalam asmara
tiada hirau dosa

Fuad dan Aryana
rasa nikmat dunia
terlalu lazat, oh enaknya

Friday, September 14, 2012

tulisanku

tulisanku hanyalah terjemahan hati
gembira dan sedih yang bergantian
kecewa dan sepi yang datang
jadi taruhan, makanan

aku menulis di sini
hanya suka-suka
sekadar berkongsi duka dan luka
mensia-siakan waktu dalam sabar dan gerutu

bila tulisanku gagal
aku rindu
rindu akan aku yang dulu
amat lancar dan fasih
dan cerlang dan masyhur

ada waktunya bila sudah di atas
kita pasti duduk di bawah
metaforaku tak perlu kau kepayangkan

Thursday, September 13, 2012

teman setia

ke mana saja aku hayunkan langkah
tetap setia kau temani
biar ke bangunan bertingkat tinggi
atau ke utara negara
setia kau menemani

yang aku nangiskan sedih
kau katakan sabar
yang aku jeritkan girang
kau katakan ujian
yang aku umpilkan nikmat
kau suruh beringat

di sinilah kau dan aku
sama melengkapkan
kesetiaanmu untuk kekal meneman aku sanjungi
apalah darjatku tanpamu di sisi tuhan

kerana kau masih setia
aku pilih kau jua temaniku sampai sudah

Wednesday, September 12, 2012

di atas aku

bahagianya aku di bawahmu
bila kau di atasku
terawanganlah kita diracuni madu asmara
yang meresap ke dalam liang-liang pembuluh
darah manis lagi likat merahnya beraliran

kau yang di atasku
panduku ke kemuncak pengharapan
terlalu nikmatnya perjalanan ini
lebuh rayanya meski panjang terasa bertambah lama
randuk dan pesong yang kita gayakan

aku yang di bawahmu
mabuk dilimpahi kasih dan sayang
serta cinta yang terus berlimpahan
kau yang di atas aku terus melihat
dan mendengar tiap rintih dan desah
dan rayu serta rindu dendamku

di atas aku
tidak pernahku henti syukur

Tuesday, September 11, 2012

belakang wajah

senyum bersimpul pipi merah
bibir nipis delima merekah
santun laku dan langkah

tawa bila sama canda
hiba konon sama luka
bahagia atas air mata

nafi dan nafi lagi
pangkal cerita bijak disembunyi
belakang wajah terus ditutupi

mahu kekal dipuja, dipuji
biar dikenang sampai mati
sorokkan peribadi asal diri

mengapa perlu tipu semua
apakah takut membusuk nama
semut di kaki tak mati

belakang wajah di sebalik calit solekmu
lambat laun akan mencair dan terserlah jua
sudahlah memperbodohkan diri
kecil kau di telapakku

Monday, September 10, 2012

debar

telapak tangan berpeluh
darah mengalir laju dalam pembuluh
jantung berdegup laju
dada bergegar, hati berderbar-debar

kalau ini jalan yang tertulis
mengapa terlalu payah untuk diranduk
liku dan arusnya amat memukul tubuh

debar yang semakin mengencang
aku tidak tahu apakah ini yang dirancang
bagai datang semangat baru memalu hati
terlalu mahu dan masa yang sama juga terlalu keliru

debar yang kencang
hujan masih mencurah panjang

Sunday, September 9, 2012

menangislah bila bersedih

bila sedih, menangislah
pasti lepas segala tekanan
lega rasa di hati

bila sedih, menangislah
luahkan semuanya
ya, semuanya

bila bersedih, menangislah
kemudian, tenanglah
ujian yang datang
kalau bukan mampu ditangani
takkan ia merapati

bila bersedih, menangislah
biarlah basah bahuku
betapa aku mengerti

Saturday, September 8, 2012

Pavlova

gemalai liuk tarimu
menggoda pandangan mata setiap umum

dalam lembut ada tangkas
dalam senyum ada duka
hidup yang anak jadi ranum
nama pun sama harum

meski matimu jadi rebutan
masih kau kekal di situ
gerak lentur lentukmu jadi saksi kemasyhuran


Friday, September 7, 2012

tulisan buat pencurah hujan

lebatkanlah hujanmu
suburkan bumiku
biar tanah yang gembur bertambah ranum hasilnya
biar dahan yang kering beransur basah rantingnya

lebatkanlah hujanmu
saljukan bumbungku
biar hawa panas tersingkir jauh
berganti sejuk sampai berpeluk tubuh

lebatkanlah curah hujanmu
penuhi air di lembah-lembahku
biar kecil yang tersembunyi akhirnya muncul membesar
tujuh lapis yang menahan kaki relungnya bertambah lebar

Thursday, September 6, 2012

rumah atas bukit

rumah atas bukit
cintanya sedang sakit
rindunya bertambah perit

rumah atas bukit
bumbung penuh merah
panas dan marah

rumah atas bukit
dulu penuh tawa
kini masih hiba

rumah atas bukit
tempat dapat ilmu
tiada rasa jemu

rumah atas bukit
tempat himpun ramai
rukun penuh damai

rumah atas bukit
jauh tapi dekat
sayang bertambah ketat

Wednesday, September 5, 2012

HB

HB
harimau bintang
halia busuk
hantu beweh

HB
Halle Barrey
Henry Butcher
Harve Bernard

HB
hancur berkecai
hancur berderai
Hentak Berlipat

HB
hati batu
hari baru
Haji Bakhil

HB
harum bersiram
hidup berjiran
hendak berangkat

HB
harungi bersama
hayati bersama
hidup bahagia

ucaplah dengan ikhlas
hanya berpesan
HB!


Tuesday, September 4, 2012

penjahit hati

sematkan peniti di kaki hati
yang kainnya nian polos bercurah warna-warni
jelujurkan panjang pendek kemudian lilitkan
biar tersambung perca kecil-kecil
buat pelebar bidang
lalu sembat dan silang pangkahkan
biar tampak kemas bebenang jahitan

inilah hatiku yang kau jahiti
memberi biar gembira datang kembali
dan membuat sedih berlalu perlahan dan terus pergi
memberi senyumanmu biar senyumku berkuntum
dan membuat tawa biar hibaku bagai terang mengganti gelita

kalaupun warna di hati memudar
masih kukuh tulang belutmu jadi kemasan


Monday, September 3, 2012

penulis rahasia

pena yang melirik
kata yang indah
tangan berbungkus rapi

kajang bertampuk dakwat
hitamnya menyucikan dasar
putih yang cerlang

tulislah cinta manis
agung asmara sempurna
atau kisah kecewa

tuliskan harapan tinggi
ceritera penuh sakti
sejarah latar manusiawi

siapa yang menukilkan
hikayat penuh angkuh
hanya tinggal rahasia

Sunday, September 2, 2012

esok yang belum pasti

daun kering ditiup angin
lemah, layu tanpa jiwa
seperti di hatiku
bagai musimnya terhenti
kelam dan penuh gelita

sampai saja ke hujung hari
bagai tiada satu pun isi
yang dapat mewarnakan masa yang cemburu
dalam lumba pantas kejarnya waktu

telah tamat hari
sedalam desah sabar mengharungi
begitulah harap yang berdenting
mahu semuanya sempurna
meski ada cela biarlah ke arahnya

menuju lena yang mimpinya
tidak ketahui indah atau ngeri
terlempar pandangku jauh
menembus ke bumbung langit
apakah cerita esok sama seperti tadi
atau lebih baik dan bertambah suci
atau lebik malang dan bersarat walang

esok yang belum pasti
tampilkanlah belas syurgaloka

Saturday, September 1, 2012

terbang tinggi

aku mahu terbang tinggi
jauh dari lantai bumi
pacu dari selatan ke tenggara
menuju timur laut dan mendarat di barat daya

bawalah aku terbang tinggi
dekati kejora dan matahari
biar terlupa meski sekejap duka lara
biar kering meski sebentar air mata

terlalu besar ujian yang datang
terlalu lemah untuk kugempur dan melawan
kanan yang kukuh bisakan terkulai
kiri yang rapuh tiada mampu lagi membelai

tinggikanlah penerbanganku
belahi langitmu
pedih yang berkarung sarat di hati
teramat jadamnya menjerukkan batin