Saturday, May 25, 2013

manusia biasa

seperti langit yang selalu cerah
dan adakalanya mendung lalu hujan mencurah
itulah hatiku

seperti bulan yang pertengahannya mengambang
dan permulaan serta pengakhirannya kerap hilang
itulah perasaanku

seperti laut yang selalu tenang
dan adakalanya pasang lalu menghempas karang
itulah jiwaku

ada masa bertingkat-tingkat
ada masa beransur pergi
aku manusia biasa
hakimiku seadilnya
sepertimana engkau mahu kuselidikimu

Sunday, May 19, 2013

kayuh laju-laju iii

kayuh laju-laju
sampai hujung titi
apa dalam baju
daging bentuk hati

kayuh laju-laju
jangan langgar lubang
apa dalam baju
kitab cinta songsang

kayuh laju-laju
hingga nafas lelah
apa dalam baju
daki penuh celah

kayuh laju-laju
mahu kejar masa
apa dalam baju
cinta untuk dinda

kayuh laju-laju
biar hilang marah
apa dalam baju
cium masih merah

Thursday, May 16, 2013

puisi

luahan perasaan dari hati
yang memandu hari
kata-kata manis, pahit
terabadi di atas layar

kaca mata memandang jauh
lapis minda meneliti seluruh
sketsa kecil yang berdrama di pangkal subuh
detik singkat menanti matahari jatuh
mengira bintang, mencerap bulan
hujan dan kemarau jadi perlambangan

apa puisiku terlalu singkat
atau kerap dinaikkan di sini
meski padamu hanya murahan
untuk aku semuanya adalah pengalaman, pelajaran

sehingga upaya terpisah daripada badan
tetap akan terus menitip kata

Saturday, May 11, 2013

perjalanan

jauh langkah dihayun
letih dan lesu menanti di kanan, di kiri
jaya di hujung jalan belum pasti

cekalkanlah hati menempuh perjalanan
susah dan payah melingkar
semangat usah luntur dan padam

seumpama untuk hidup akan kalah
biarlah mati mempertahankannya
jangan layu di permulaan
lawan, semampu tubuh menahan

perjalanan
singkat atau jauh
kitalah yang menentukan keberuntungan

Sunday, May 5, 2013

membuang undi

buang undi
calit dakwat ke jari
pangkah suka hati

buang undi
sokong digemari
tolak diragui, dicurigai

buang undi
ubah sekali
ratap, sesal ke abadi

buang undi
jangan lupa budi
jangan khianati umbi

buang undi
kalah hilang taji
menang lupa janji