Sunday, June 30, 2013

pernah kita

kita pernah akrab
langkah sama derap
kata sama ucap

kita pernah erat
kulit dan isi terlekat
tanduk dan daging terbalut kuat

satu salah membezakan darjat kita
satu balah meluaskan renggang kita

pernah kita rapat
hanya iman memisah dekat


Saturday, June 22, 2013

ketika percayaku mati

termenung
sukar menerima hakikat
madu berbalas tuba

terdiam
payah di hati menelan kenyataan
tebu subur di pangkal bibir

dadaku panas menahan amarah
sabar yang menipis masihku tebalkan
telah aku yakini amanah ini
kau mungkiri janji
kau khianati

ketika aku kenangkan jalinan kita
gembira dan sedih bersama
masa-masa yang indah
kenangan masih basah
tertitis air mataku kerananya

tiada tempat untukmu dalam hidupku lagi
ketika telah percayaku mati


Saturday, June 15, 2013

separuh, setengah

separuh, setengah
masa makin cemburu
hati masih dirajai nafsu

separuh, setengah
jalan jauh diredah
tak toleh sejarah

separuh, setengah
apa ada kau kirim doa pada yang telah pergi
apa ada kau sujud sembah pada pemilik diri

separuh, setengah
tanah yang dipijak
langit yang dijunjung
jangan kau lupa tuannya

Tuesday, June 11, 2013

penterjemahan

berkata-kata
sinis, domba
serkap jarang sentiasa

berbicara
bernas, bergeliga
lapik dan alas tersedia

bila yang kau baca
bukan seperti penafsiran
bila yang kau tulis
bukan seperti penterjemahan
mungkin lingkup ilmu masih kecil
atau angkuh diri tak mahu selidiki

pada aku, berakal
pada engkau, bebal
moga jalan kau dijamungi

Thursday, June 6, 2013

permintaan

berteleku di sudut gelap
memikir untung nikmat dan azab
meneliti berat amal
mengira ringan biadab

wahai tuhan yang memiliki jiwa
apakah hujungku bagai kuimpikan
atau seperti yang pernah diceritakan
wahai tuhan yang menetapkan takdir
apakah jalanku sukar kutitikan
dan di perhentianku dipermudahkan

tembus dinding kupandang
sepinya memantulkan berjuta jawapan
bantulah aku kekal di denai-Mu
menuju taman indah penuh lazat anugerah-Mu