Friday, May 1, 2015

dinihari

gelap hening
lena diulit mimpi
ada jiwa yang masih berjaga

sukar difahami kata-kata
jauh tersimpang
bening sunyi
sejuk menggigit kulit
menyiat hati

hulurkan wajah ke jendela
kota yang penuh kepuraan
diselit kecil jujur dan tipu helah
haloba menjadi pemandu hidup
yang kaya terus di atas
yang miskin bersungguh, berpulas
sakit pening jua dikerah-paksa

dalam dinihari
aku belajar
usaha pasti memberi jaya
yang ikhlas adalah pemenangnya

Wednesday, April 1, 2015

20

masih santun
masih merdu
masih jaya
masih cinta

lemparlah cela
palitlah domba
siramlah sengketa
senyum kekal bersisa

apa saja dialuni
apa saja ditangani
apa saja disentuhi
jadi sakti
bagai bersalut tuah tak terhenti

jayalah
cerlanglah
jangan henti lagukan melodimu
kerana nadanya mendakap tenang dihatiku



Saturday, March 21, 2015

sajak cinta

aku kehilangan madah
untuk kucumbu-kucupkan buatmu
cinta hatiku

bait-bait seni mana yang dapat
ceritakan rasaku terhadapmu
cinta yang melampaui cinta
kasih yang menjangkaui sayang
buntu aku meski lengkung bulan
setia meneman di langit kelabu

aku cintaimu
sepenuh hati
hanya takdir
dan maut
pemisahnya

Wednesday, February 25, 2015

erti diri

berdiri di atas kakiku
pada subur tanah-Mu
mencari erti
dan diri

bulan menggantikan hari
yang bertukar ganti kisahnya
manis atau pahit
ditelan dan dihadam sendiri

di pintu manakah
akan terlangkah kaki
di tangan siapakah
nasib dan ajal dipanggil

berkatilah hidupku
meski seribu tahun lagi
tak mahu kusiakan

Saturday, January 31, 2015

kayuh laju-laju v

kayuh laju-laju
sampai kaki kejang
apa dalam baju
cinta penuh jurang

kayuh laju-laju
sampai hujung jalan
apa dalam baju
rindu pada tuan

kayuh laju-laju
mahu pintas masa
apa dalam baju
kitab-kitab dosa

kayuh laju-laju
kayuh sampai penat
apa dalam baju
sayang penuh ketat

kayuh laju-laju
biar sampai bintang
apa dalam baju
hanya kamu sorang

Saturday, January 17, 2015

sepi di sudut jendela

masih aku di sini
membilang sepi
lewat pemergianmu
dijemput Ilahi

bagai semalam
kukucup tanganmu
dan kau usap rambutku
bahagianya aku ketika itu
rasa tiada kata terungkap

tawa dan tangismu
aku jadi saksi
tunjuk ajarmu
jadikan diri aku kini

enaklah lenamu
dalam tamanmu
doa terus kukirimkan
pada angin yang lembut berkunjung
di sepi sudut jendela hatiku

Thursday, January 8, 2015

hatiku kau luka lagi

hatiku kau luka lagi
darahnya mengalir deras
membasahi dada
membanjiri hiba

apakah kesilapanku
hingga begini kau lakukan
luka lama tiada berbebat
malah kau dalamkan peritnya

andai sampainya waktu
perpisahan yang mengakhiri kita
kemanakah akan kau bawa
piala kejam kemenanganmu

tiada penjelasan
mahu kau dengar
aku terima semua

air mata jua
tiada terhilangkan kesan di pipi

Thursday, January 1, 2015

dua tahun di Kota Lumpur

selut dan lintah
memamah tanah
lembah rezeki
penuh tipu, duri
kanan dan kiri

manis laku
diperkotak katikkan
sumbang lagu
dipuji juri
senyap bisu
dipijak keji
lantang selalu
dibenci

dua tahun di Kota Lumpur
masih hijau di sini
kekal desa di hati

semoga yang indah-indah saja!