Tuesday, February 25, 2014

28

aku menanggalkan kelongsong usia
di luar pintu kenangan setahun lalu
lantas bersimpuh di dada-Nya
menghitung leka dan cela
menelah indah dan rahsia
tahun mendatang

tidak aku tuntut bungkusan mewah
tidak aku harap sambutan meriah
cukup dikenangi aku di dalam setiap doamu
dan dihargaiku dalam senang susahmu

semoga yang baik-baik sahaja buat aku
dan seisi dunia

Saturday, February 8, 2014

di sini hatiku

labuh belakangku di atas empuk ikhlasmu
cerita jaya bertukar di mata
nuansa indah bergema girangkan semua
runtun jiwa, insafi tiap ihsan-Nya

di sini hatiku
mahu selalu ada
jadi saksi bangun dan rebah
jadi pemerhati pegun dan gagah

kenangan yang terimbau
mengingatkan hidup lepas penuh kisah
redam dan jadam menghentam
madu jua racun berlikat dalam buyung usia
digumam perit sebelum ditelan dengan keakuran

di sini hatiku
mahu sama ke syurga
saling kenali usaha
merai ganjar-Nya