Tuesday, November 27, 2012

#ZineUntukGaza

Doa Buat Gaza

Aryana hanya diam. Seperti ada batu besar menindih petah lidahnya. ‘Allah…’ Harinya benar-benar tiba. Malah, tiap lakon cerita yang dibayangkannya betul-betul terjadi. Dia terpempan, namun cuba menerima dan percaya. Semua itu sedang berlaku. Wataknya, lagu latarnya, suasananya..sama seperti apa yang dimimpinya.

“Jaga diri baik-baik ya. Maaf kalau ada abang terkasar dan terguris hati..”. Fuad lalu senyum tenang, diusap-usapnya kepala Aryana yang bertutup sempurna. Lantas bibirnya mengucup dahi isternya itu. “Halalkan makan minum abang..”. Kemudian Fuad tersenyum lagi.

Tangan kanannya mendapatkan tangan kanan suaminya, terus dikucupnya. Tangan yang dia tidak tahu bila lagi akan dapat digenggam dan dieratnya kuat-kuat. “Ampunkan dosa-dosa Aryana, abang”. Dipeluknya tubuh sasa itu dengan kejap. Mata mereka bertentangan, senyum berkuntuman. ‘Lindunginya…’. Kenangan itu masih basah lagi.

Aryana menahan air matanya. Dia mahu kuat di hadapan suaminya. Dia tidak mahu Fuad meninggalkannya dengan melihat dirinya bersedih, meski hati dan jiwa wanitanya terlalu hiba dan sebak. Dia memejamkan mata rapat-rapat, menarik nafas dalam-dalam dan dilepas perlahan. Dahi Fuad dikucupnya. Dia redha melepaskan pelindungnya itu pergi. ‘Rahmatinya, berkatinya..’. Kain putih dilabuhkan dan tertutuplah wajah bersih lagi tenang Fuad.

Kenderaan yang membawa suaminya serta beberapa orang sukarelawan sebuah misi perubatan ke Semenanjung Gaza yang lain remuk dirempuh sebuah lori kontena sarat berisi muatan tembaga tulen ketika dalam perjalanan menuju ke lapangan terbang. Aryana sepatutnya menyertai misi tersebut namun namanya digugurkan kerana sedang mengalami alahan kehamilan yang berat.

Bunga rampai ditabur, air mawar disiram. Dalam doanya, Aryana memohon supaya suaminya ditempatkan di tempat tertinggi di sisi-Nya. Jauh di hatinya, ada satu perasaan yang menenangkannya. Fuad meninggal dunia sewaktu dia sedang melakukan satu pekerjaan yang mulia. Akan diceritakan kepada anak yang sedang dikandungkannya itu bila ia lahir dan faham kelak bahawa ayahnya mati sebagai seorang pejuang, pejuang yang mahu melindungi orang-orang yang ditindas dan dizalimi.

Aryana berkata kepada dirinya, betapa ujian yang sedang dihadapinya ini terlalu kecil untuk dibandingkan dengan ujian yang sedang didepani penduduk Gaza. ‘Ya Allah, Engkau rahmatilah, berkatilah dan lindungilah saudara-saudaraku di Gaza. Engkau hentikanlah segala macam kezaliman dan permusuhan. Angkatlah dari mereka kesusahan, bala, peperangan dan permusuhan. Amin, Ya Rabbal Alamin'.

Kedamaian memenuhi setiap ruang hati Aryana.

x x x

pencerahan perihal #ZineUntukGaza di sini
muat turun pdf  #ZineUntukGaza di sini

No comments: