Saturday, July 5, 2014

kenangan Ramadan

setiap kali menjelang masuk waktu berbuka puasa, pastinya akan terkenang saat-saat bersama arwah abang dan kakak-kakak membantu arwah emak menyiapkan hidangan. arwah abang akan ke kedai runcit membeli keperluan. kakak-kakak kemudiannya akan menguruskan bahan-bahan sebelum dimasak arwah emak, selain menjerang air dan menanak nasi. aku pula menghampar tikar, menyusun pinggan di tepi bintang berisi gelas/cawan dan jag-jag air serta mangkuk setangan. dulang kosong akan diletakkan di tengah-tengah tikar sebelum piring-piring berisi lauk-lauk pilihan hari tersebut dihidangkan.

ketika itu, air jando pulang dan kuih kelepung sudah dikira istimewa. arwah emak pasti akan menyediakan tauhu sumbat sebagai pembuka selera buat kami sekeluarga. apabila sudah masuk waktu berbuka, ayah akan memimpin bacaan doa. semestinya kurma didahulukan, air sejuk diutamakan.

kini, semua itu menjadi kenangan. kakak-kakak sudah berhijrah mengikut pasangan masing-masing. ayah pula sudah menemukan juadah berbuka yang baharu. aku membawa diri ke ibu kota konon-konon mahu mencari diri dan membina hidup sendiri.

semoga arwah abang dan arwah emak terus berbahagia dan bersenang-lenang di taman mereka. air jando pulang, kuih kelepung dan tauhu sumbat akan terus subur dalam ingatan.

selamat berbuka!

No comments: